Jitra: Kesempitan hidup sepasang suami isteri yang bekerja sebagai pendawai elektrik dan tukang cuci bukan penghalang untuk anak mereka memperoleh keputusan cemerlang dalam ujian Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) yang diumumkan, semalam.

Nur Ain Izzati Ahmad Satmi, 15, pelajar Sekolah Menengah (SM) Sains Kubang Pasu, di sini, memperoleh keputusan 10 A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu (ujian bertulis), Bahasa Melayu (lisan), Bahasa Inggeris (ujian bertulis), Bahasa Inggeris (lisan), Matematik, Sains, Sejarah, Geografi, Pendidikan Islam dan Kemahiran Hidup Bersepadu (Perdagangan dan Keusahawanan).

Bapa pelajar itu, Ahmad Satmi Mohd Sabri, 48, bekerja sebagai pendawai elektrik, manakala ibunya, Noraini Shaari, 49, bekerja sebagai tukang cuci banyak berkorban demi memastikan anak mereka menerima pendidikan secukupnya.

“Sudah tiba masanya saya membalas budi kedua orang tua dengan belajar bersungguh-sungguh. Saya tidak mahu menghampakan mereka yang mahu saya berjaya dalam pelajaran selain mengejar impian menjadi doktor.

“Tiada rahsia tertentu yang saya amalkan, cuma fokus ketika guru mengajar. Setiap subjek yang saya kurang faham, saya akan bertanya dengan guru sehingga benar-benar faham.

“Memang saya akui berdebar-debar apabila dapat kertas soalan kerana khuatir tidak dapat menjawab dengan baik. Sebenarnya soalan dalam PT3 lebih menjurus kepada pengetahuan dan daya pemikiran kita untuk menjawab,” katanya yang ditemui di SM Sains Kubang Pasu, di sini, semalam.

Sementara itu, Ahmad Satmi mengakui tidak pernah menekan anaknya belajar, namun memberi galakkan untuk berjaya.

“Malah, saya dan isteri tidak kisah walaupun terpaksa mengikat perut semata-mata mahu memberikan pendidikan yang baik kepada anak,” katanya yang memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan.

Selain itu, katanya, solat lima waktu serta membaca Yasin sering diamalkan keluarganya bagi memudahkan mereka menduduki peperiksaan penting.

Jurucakap Jabatan Pendidikan Negeri Kedah berkata, seramai 36,692 calon mengambil PT3 membabitkan 221 sekolah di negeri ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 9:23 AM