Kuantan: Mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara di sekolah sekitar daerah ini diminta tidak melakukan vandalisme.

Pengarah Jabatan Pendidikan Pahang Datuk Rosdi Ismail berkata, ia bagi memastikan sesi persekolahan tahun depan dapat berjalan dengan sempurna.

Menurutnya, mangsa banjir perlu menggunakan kemudahan dan harta benda sekolah dengan cermat dan berhemat.

“Kemudahan di sekolah khusus untuk kegunaan pelajar untuk tempoh jangka panjang dan jika rosak, ia mengambil masa untuk digantikan, sekali gus mengundang kesulitan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melawat mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan (SK) Cherating dekat sini, semalam.

Pusat pemindahan itu menempatkan 31 mangsa daripada lapan keluarga dari Kampung Bukit Palas dan Pengkalan Bata, Cherating yang terjejas selepas rumah mereka dinaiki air.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 23 Disember 2014 @ 8:19 AM