ANGGOTA polis mengangkat mayat Omar.
ANGGOTA polis mengangkat mayat Omar.

Kuala Terengganu: “Sayu melihat tangannya hampir hancur dan kepalanya remuk selepas digilis treler,” kata Dianan Yusof, 55, menantu kepada Omar Ibrahim, 72, yang maut digilis treler di persimpangan lampu isyarat Kampung Gelong Bilal, semalam.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari itu, warga emas yang bekerja sebagai tukang sapu itu dikatakan mengayuh basikal dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Padang, di sini selepas menjalankan kerja pembersihan di pusat bandar.

Apabila tiba di persimpangan lampu isyarat, warga emas itu berhenti di penghadang jalan bersebelahan kanan treler dipandu lelaki berusia 25 tahun.

Sebaik lampu isyarat bertukar hijau, treler itu bergerak tanpa menyedari mangsa berada berhampiran menyebabkannya terperosok di bawah treler sebelum digilis kenderaan berat itu.

Dianan yang ditemui di Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), di sini, berkata, akibat kemalangan itu bapa mentuanya mengalami kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan serta meninggal dunia di tempat kejadian.

Menurutnya, sebaik mengetahui kejadian itu dia bergegas ke lokasi kejadian dan terkejut melihat bapa mentuanya terbujur kaku berhampiran penghadang jalan dengan pelbagai kesan luka pada anggota badannya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 10:30 AM