MAYAT mangsa yang digilis treler dalam kemalangan di Jalan Jakar, hari ini. FOTO Rosli Ilham
MAYAT mangsa yang digilis treler dalam kemalangan di Jalan Jakar, hari ini. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


WARGA emas maut selepas badannya digilis treler dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat dekat Kawasan Perindustrian Jakar, Chukai, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 7.40 pagi itu, mangsa Mamat Jumaat, 78, maut di tempat kejadian akibat parah di kepala dan badan.

Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 dalam perjalanan dari Chendor, Kuantan, Pahang, menuju ke Bandar Chukai.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitenden Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal ditunggangi mangsa secara tiba-tiba memasuki laluan kanan jalan.

“Tindakan itu menyebabkan treler terbabit yang berada di belakang mangsa gagal mengelak lalu melanggar dan menggilis mangsa.

“Mangsa dikatakan diseret sejauh kira-kira 15 meter yang menyebabkannya tersepit di bahagian belakang tayar treler terbabit,” katanya.

Beliau berkata, sepasukan 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Chukai dikejarkan ke lokasi kejadian bagi membantu mengeluarkan mayat mangsa yang tersepit di bawah tayar treler.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kemaman untuk siasatan lanjut dan polis sedang mengesan waris mangsa, ” katanya.

Mohd Said berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 ( 1 ) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Oktober 2018 @ 1:24 PM