Raden (tiga dari kiri) menerima ciuman tahniah daripada ibunya pada Majlis Konvokesyen Ke-12 KAYM di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Raden (tiga dari kiri) menerima ciuman tahniah daripada ibunya pada Majlis Konvokesyen Ke-12 KAYM di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka.
Oleh Nor Shafinaz Sari

Melaka: “Pengalaman hidup susah sejak kecil menjadi perangsang untuk saya mengejar kejayaan dan mencapai cita-cita yang diimpikan.”

Itulah kata-kata pemegang Diploma Teknologi Media, Raden Mohammad Azwan Naharudin, 22, yang menerima Anugerah Emas Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) pada Majlis Konvokesyen KAYM ke-12 di Seri Negeri, semalam.

Beliau berkata, dia berjaya membuktikan yang kesusahan hidup yang dihadapinya sejak kecil tidak pernah menghalangnya untuk berjaya dalam hidup.

“Melihat kesusahan ibu Shalasiah Salmin, 44, seorang diri membesarkan saya dan kakak, saya tidak boleh patah semangat malah situasi itu mendorong saya untuk berusaha keras bagi membalas jasanya.

“Sejak berpisah dengan bapa ketika saya berusia dua tahun, ibu yang bekerja sebagai pembantu sebuah klinik swasta di Johor Bharu turut melakukan kerja sambilan lain untuk membesarkan kami, jadi saya tidak akan pernah melupakan kesusahan ini,” katanya ketika ditemui.

Raden yang bercita-cita menjadi seorang wartawan berkata, dia lebih gemar mengulang kaji pelajaran secara bersendirian untuk lebih fokus.

Katanya, tiada resipi khas di sebalik kejayaannya itu, namun komited dalam melakukan tugasan dan amanah yang diberikan oleh pensyarah semasa di kolej amat penting.

“Saya sangat suka menulis dan sering menghantar penulisan untuk mana-mana pertandingan.

“Idola saya dalam bidang penulisan adalah A Samad Said dan hasil karyanya banyak memberi inspirasi kepada saya,” katanya.

Dalam pada itu, seramai 312 graduan diraikan terdiri daripada 44 penerima ijazah dan 162 penerima diploma dalam pelbagai bidang selain 106 penerima sijil program kemahiran dalam majlis berkenaan.

Majlis berkenaan disempurnakan Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah KAYM, Md Rawi Mahmud dan Ketua Eksekutif KAYM, Datuk Saroni Judi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Disember 2014 @ 8:41 AM