ANGGOTA bomba memadam kereta yang terbakar.
ANGGOTA bomba memadam kereta yang terbakar.

Kuala Lumpur: Angkara khianat, empat kereta terbakar termasuk satu hangus sama sekali dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Taman Mastiara, Jinjang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi, empat kenderaan yang terbakar ialah Nissan Sunny, sebuah teksi , Proton Saga FLX dan Proton Iswara Aeroback.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner R Munusamy berkata, siasatan mendapati kebakaran itu berpunca dari teksi yang hangus sebelum merebak ke kenderaan lain.

“Kami memaklumkan kejadian kepada bomba dan dalam beberapa minit kemudian, api berjaya dipadamkan dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

“Dua pemilik kenderaan sudah membuat laporan polis susulan dari kejadian itu dan kami akan menyiasat kes ini dalam semua kemungkinan termasuk perbuatan khianat,” katanya.

Katanya, siasatan mendapati tiada kamera litar tertutup (CCTV) dipasang di lokasi kejadian, namun sisa kebakaran sudah diambil dari lokasi kejadian untuk siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 8:33 AM