MOHD Shamsudin (kiri) menyerahkan kunci kereta kerajaan negeri kepada Setiausaha Bahagian Dewan Negeri Selangor, Elya Marini Darmin (dua dari kanan).
MOHD Shamsudin (kiri) menyerahkan kunci kereta kerajaan negeri kepada Setiausaha Bahagian Dewan Negeri Selangor, Elya Marini Darmin (dua dari kanan).
Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque


Shah Alam: Suasana politik Selangor kembali ‘panas’ apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong Datuk Mohd Shamsudin Lias melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang mulai semalam.

Keputusan itu dibuat Mohd Shamsudin kerana menyahut cabaran kerajaan negeri dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Hannah Yeoh yang mahu beliau melepaskan jawatan sekiranya tidak bersetuju dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan (PAC) negeri.

Mohd Shamsudin turut memulangkan kereta Toyota Camry yang diberikan kerajaan negeri kepadanya sebagai kenderaan rasmi Ketua Pembangkang pada 24 November lalu.

Mohd Shamsudin berkata, beliau masih tetap dengan pendiriannya untuk tidak menerima jawatan sebagai Pengerusi PAC Selangor kerana menganggap jawatan itu hanya ‘boneka’ semata-mata walaupun dipengerusikan ADUN Barisan Nasional.

Menurutnya, komposisi dalam jawatankuasa berkenaan juga tidak seimbang dengan lima daripada tujuh ahlinya adalah ADUN Pakatan Rakyat (PR) manakala BN hanya diwakili dua ADUN iaitu beliau dan ADUN Jeram Datuk Amiruddin Setro.

“Jika kerajaan negeri ikhlas melakukan ‘check and balance’ (semak dan imbang) dalam pentadbiran, majoriti ahli perlu diberikan kepada ADUN BN namun ia berlaku sebaliknya.

“Atas prinsip itu, saya melepaskan jawatan sebagai Ketua Pembangkang Selangor kerana berasa tiada guna memegang jawatan itu jika hanya dijadikan boneka dan terikat dengan lima lagi ADUN PR,” katanya pada sidang media di lobi DUN Selangor di sini, semalam.

Beliau berkata, pindaan Peraturan Tetap 68 (1) pada 4 Disember lalu yang mewajibkan Ketua Pembangkang menjadi Pengerusi PAC bertujuan ‘mengikat’ supaya menerima perlantikan jawatan berkenaan.

Katanya, berpegang kepada intergriti, beliau tidak mempunyai pilihan selain melepaskan jawatan sebagai Ketua Pembangkang, namun tetap berkhidmat sebagai wakil rakyat di Sungai Burong dan keputusan peletakan jawatan juga sudah dimaklumkan kepada Pengerusi Badan Perhubungan BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

“Saya mencabar Menteri Besar Mohamed Azmin Ali menamatkan khidmat Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi Selangor kerana intergritinya sudah tercalar dengan penarikan darjah kebesaran oleh Sultan Selangor.

“Akibat sikap tamak dalam politik menyebabkan pentadbiran negeri ini kucar-kacir selama sembilan bulan sehingga pelbagai masalah membabitkan isu rakyat seperti catuan air, denggi dan sampah gagal diselesaikan dengan baik,” katanya.

Terdahulu, Mohd Shamsudin menyerahkan surat peletakan jawatannya sebagai Ketua Pembangkang kepada Setiausaha Bahagian DUN Selangor Elya Marini Darmin.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 8:01 AM