AHMAD Razif  Abd Rahman. FOTO Rozainah Zakaria
AHMAD Razif Abd Rahman. FOTO Rozainah Zakaria
Baharom Bakar


AHLI Dewan Undangan negeri (ADUN) Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman meletak jawatan sebagai ketua pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Surat peletakan jawatan sebagai ketua pembangkang DUN negeri dihantar kepada Yang Dipertua DUN, Yahya Ali, Isnin minggu lalu.

Ahmad Razif yang juga bekas Menteri Besar dilantik sebagai ketua pembangkang DUN Terengganu pada 1 Julai tahun lalu.

Difahamkan, Ahmad Razif meletak jawatan sebagai ketua pembangkang DUN Terengganu bagi memberi laluan kepada ADUN Kijal, Datuk Seri Ahmad Said yang dilantik sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, awal Januari lalu.

Sementara itu, Setiausaha DUN Terengganu, Zulkifly Isa ketika dihubungi mengesahkan ada menerima surat peletakan jawatan Ahmad Razif sebagai ketua pembangkang hari ini.

Bagaimanapun, katanya, Yahya (Ali) belum lagi melihat surat itu kerana kurang sihat.

“Persidangan DUN Terengganu, termasuk perasmian dewan undangan negeri akan diadakan selama empat hari mulai 1 April akan datang.

“Kebiasaannya, cadangan nama ketua pembangkang DUN Terengganu akan diputuskan oleh Badan Perhubungan UMNO negeri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 4:32 PM