Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Shah Alam: Bagi mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di bandar Kajang, kerajaan negeri memperuntukkan RM5.5 juta untuk mendalam dan melebarkan sungai serta sistem perparitan di kawasan itu.

Menteri Besar Mohamed Azmin Ali berkata, kerajaan negeri meluluskan peruntukan itu untuk digunakan bagi memastikan kejadian banjir yang berlaku setiap kali hujan lebat dapat dielakkan.

“Kerajaan negeri kenal pasti punca berlaku banjir di kawasan berkenaan dan sejumlah peruntukan diluluskan.

“Sebanyak RM5.5 juta diperuntukkan dan kerja mendalam serta melebarkan sungai dimulakan dalam masa terdekat. Kerja mendirikan tembok menghalang banjir bermula dan bakal siap sedikit masa lagi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan program memancing Grand Slam GP Selangor 2014 di Tasik Shah Alam di sini, semalam.

Dalam perkembangan lain, kerajaan negeri tetap dengan pendirian jawatan Ketua Pembangkang perlu diisi Barisan Nasional (BN) bagi memastikan proses semak dan imbang dapat dijalankan dalam pentadbiran.

Menurutnya, jawatan Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan (PAC) negeri mesti disandang Ketua Pembangkang daripada BN seperti diamalkan negara membangun lain.

“Negara membangun lain di seluruh dunia memberikan jawatan Pengerusi PAC kepada Ketua Pembangkang supaya semakan perbelanjaan dan pengurusan kewangan kerajaan negeri dapat dibuat,” katanya.

Sebelum ini, Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor awal bulan ini memutuskan jawatan Pengerusi PAC perlu disandang Ketua Pembangkang selaras dengan pindaan Peraturan Tetap Dewan yang diluluskan.

Namun, Datuk Mohd Shamsudin Lias mengambil pendirian menolak jawatan itu sekali gus meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang.

Peletakan jawatan Mohd Shamsudin dibuat berikutan tidak puas hati dengan komposisi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN dan Pakatan Rakyat (PR) yang tidak seimbang dalam jawatankuasa berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 Disember 2014 @ 8:01 AM