Shah Alam: Barisan Nasional (BN) Selangor digesa melantik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri ini sebagai Ketua Pembangkang bagi menggantikan Datuk Mohd Shamsudin Lias yang meletak jawatan semalam.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Hannah Yeoh berkata, perlantikan segera itu perlu dilakukan agar Jawatankuasa Kira-Kira Wang Kerajaan (PAC) Negeri dapat berfungsi.

Menurutnya, beliau tidak bercadang meminda komposisi ahli jawatankuasa PAC dan bilangan itu akan kekal dengan lima ADUN Pakatan Rakyat (PR) dan dua ADUN BN.

“Saya menerima peletakan jawatan Datuk Mohd Shamsudin Lias, tetapi BN Selangor perlu melantik seorang ADUN mereka sebagai Ketua Pembangkang dan sudah menerima surat rasmi mengenai tujuan itu.

“DUN Selangor pada 4 Disember lalu bersetuju dengan pindaan Peraturan Tetap Dewan iaitu Peraturan 68 (1) Jawatankuasa PAC dipengerusi Ketua Pembangkang seperti dipersetujui sidang dewan,” katanya pada sidang media di Pejabat Speaker, semalam.

Beliau berkata, komposisi ahli jawatankuasa pilihan yang ditubuhkan mengikut jumlah majoriti parti dalam DUN Selangor dengan PR mempunyai bilangan yang lebih berbanding BN.

Katanya, peruntukan sama juga ada dalam Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, Peraturan 82(1) dan ia amalan yang diguna pakai di Parlimen Negara Komanwel seperti Australia dan United Kingdom.

“Saya menolak dakwaan pindaan Peraturan Tetap dibuat kononnya untuk memerangkap ADUN pembangkang kerana ia dilakukan di negara Komanwel lain,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan BN Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata, beliau sudah dimaklumkan oleh Mohd Shamsudin mengenai hasratnya meletak jawatan sebagai Ketua Pembangkang.

Menurutnya, beliau akan bermesyuarat dengan kepimpinan BN Selangor bagi memilih ADUN BN untuk dilantik sebagai Ketua Pembangkang.

“Saya sudah dimaklumkan mengenai perkara itu (peletakan jawatan Ketua Pembangkang) dan saya akan perhalusi serta berbincang dengan kepimpinan BN Selangor untuk melantik seorang ADUN bagi mengisi jawatan itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 8:00 AM