Seremban: Kerajaan negeri memberi tumpuan terhadap pendekatan lebih menyeluruh dengan menjadikan luar bandar sebagai kawasan produktif dan seimbang dengan pertumbuhan pembangunan di bandar.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pendekatan itu mengutamakan peningkatan kualiti hidup rakyat melalui program dan usaha merapatkan jurang ketidakseimbangan sosio ekonomi.

“Penyediaan kemudahan awam, utiliti serta jaringan telekomunikasi yang terbaik dan setaraf dengan kawasan bandar menjadi antara usaha untuk mengurangkan jurang pembangunan antara Negeri Sembilan di sebelah timur meliputi Jelebu, Jempol dan Kuala Pilah serta Negeri Sembilan di sebelah barat termasuk Seremban,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong Datuk Lilah Yasin pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-13, semalam.

Mohamad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau berkata, kerajaan negeri sudah menjalankan kajian Pembangunan Pekan-Pekan Kecil dan Kawasan Pertumbuhan Baru bagi mengenal pasti keupayaan setiap pekan kecil dalam usaha memajukan kawasan luar bandar.

Menurutnya, usaha itu juga dapat membentuk pusat pertumbuhan baru bagi menjana ekonomi setempat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Disember 2014 @ 7:59 AM