Paip air yang akan dipasang di Felda Palong Empat dan Lima. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Paip air yang akan dipasang di Felda Palong Empat dan Lima. FOTO Abnor Hamizam Abd Manap
Abnor Hamizam Abd Manap


KERAJAAN Negeri Sembilan sudah membelanjakan RM112.3 juta bagi meningkatkan kemudahan bekalan air bersih ke seluruh kawasan gugusan Felda Palong, Jempol sejak 2013.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Palong, Datuk Dr Lilah Yasin berkata, peruntukan itu termasuk menukar paip lama, membina paip baru dan membina kolam takungan.

Katanya, bermula bulan depan, pembinaan paip air baru dari loji Londoh hingga ke kolam takungan air di Felda Palong Empat dan Lima, akan dijalankan.

"Pembinaan itu membabitkan laluan sejauh 22 kilometer sekali gus mengatasi masalah bekalan air dihadapi penduduk sebelum ini," katanya selepas mengadakan lawatan projek itu, hari ini.

Lilah berkata, kerajaan negeri juga bersetuju memindahkan sumber air yang sebelum ini diambil dari Loji Pasir Besar bagi menampung keperluan penduduk.

"Loji Londoh mempunyai kapasiti air bersih lebih tinggi dan dapat menampung keperluan 30,000 penduduk. Pada masa sama ia juga menampung keperluan pembangunan di Pusat Bandar Palong serta Bandar Seri Palong," katanya.

Menurutnya, penduduk sebelum ini berdepan masalah bekalan air terutama ketika musim perayaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 January 2018 @ 6:17 PM