NAJIB (kiri) bersama  pelakon dan pelawak  Zizan Razak (tiga dari kiri) yang dilantik sebagai duta juga salah seorang rakan niaga Burgerbyte.
NAJIB (kiri) bersama pelakon dan pelawak Zizan Razak (tiga dari kiri) yang dilantik sebagai duta juga salah seorang rakan niaga Burgerbyte.

Kuala Lumpur: “Nikmati kelazatan burger sambil beramal.”dibawakan sebagai mesej utama oleh Burgerbyte menerusi pembabitan restoran itu di Karnival Harian Metro Padat 2014.

Acara yang berlangsung di pekarangan Stadium Malawati Shah Alam, bermula hari ini dan esok dari jam 11 pagi hingga 10 malam dilihat sebagai platform terbaik mempromosikan jenama berkenaan pada masa sama meneruskan aktiviti kemasyarakatan.

Setiap RM1 daripada pembelian makanan yang dijual di gerai berkenaan akan disalurkan kepada badan kebajikan yang membela nasib anak-anak HIV/AIDS.

Pengasas Burgerbyte, Datuk Najib Zakaria berkata, pembabitan dalam karnival seumpama itu membabitkan jumlah pengunjung yang ramai, sekali gus membantu syarikatnya menyasarkan jumlah kutipan yang akan disalurkan kepada badan kebajikan.

“Apabila bercakap mengenai karnival, lazimnya penganjuran acara seperti ini membabitkan jumlah pengunjung yang ramai. Tambahan pula, pengisian Karnival Harian Metro Padat 2014 sangat menarik dan dihangatkan dengan pelbagai pertunjukan membabitkan kenderaan lumba serta konsert yang menampilkan ramai artis popular yang berupaya menarik perhatian orang ramai.

“Justeru, Burgerbyte sebagai antara syarikat yang terbabit dalam acara itu terfikir selain membuat keuntungan, apa salahnya meneruskan aktiviti amal.

“Hasil perbincangan bersama rakan niaga, mereka bersetuju dengan setiap RM1 daripada kutipan pembelian makanan disalurkan pada badan kebajikan yang membela nasib anak-anak HIV dan AIDS,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Disember 2014 @ 9:08 AM