Kuala Lumpur: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Subang Jaya sedang mencari ibu kandung atau waris terdekat seorang kanak-kanak perempuan berusia setahun untuk urusan berkaitan dokumen kelahiran kanak-kanak itu.

Penolong Pegawai JKM Daerah Subang Jaya M A Ramacantiran berkata, kanak-kanak itu, Sameerajeet Kaur (gambar) kini dijaga oleh satu keluarga angkat selepas ibu kandungnya menyerahkan kanak-kanak itu kepada mereka pada 28 Februari tahun lalu.

“Sameerajeet berusia 10 hari ketika diserahkan kepada keluarga angkatnya yang tinggal di Seri Kembangan dan ibu kandungnya ketika itu berjanji untuk memberikan dokumen kelahiran kanak-kanak itu, tetapi sehingga kini tidak ada apa-apa dokumen diterima daripada wanita itu.

“Malah, wanita itu juga tidak dapat dihubungi dan gagal dikesan sehingga hari,” katanya demikian ketika datang ke pejabat Harian Metro, di sini, semalam.

Beliau berkata, maklumat terakhir diperoleh JKM Subang Jaya mendedahkan ibu kandung kepada kanak-kanak itu tinggal di SS16 Subang Jaya, namun pemeriksaan JKM mendapati wanita itu sudah tidak lagi tinggal di kawasan itu.

Menurutnya, kanak-kanak itu sudah dibawa ke Mahkamah Bagi Kanak-Kanak Petaling Jaya pada 11 September lalu dan mahkamah membenarkan perintah penjagaan kanak-kanak itu kepada ibu bapa angkatnya buat sementara waktu.

“Orang ramai yang mengenali ibu kandung atau waris terdekat kanak-kanak itu diminta menghubunginya di talian 03-56343095,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 November 2014 @ 5:27 AM