SEMBILAN penumpang cedera selepas bas ekspres dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan   lori  berhampiran Sungai Bakap.
SEMBILAN penumpang cedera selepas bas ekspres dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan lori berhampiran Sungai Bakap.
Oleh Zulfa Mohamad

Nibong Tebal: Pemandu bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan di Kilometer 153.3, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan dekat Jawi di sini, kelmarin, dipercayai mengantuk menyebabkannya gagal mengawal kenderaan itu sebelum merempuh belakang lori gas.

Kemalangan jam 11.35 malam itu menyebabkan tiga individu termasuk pemandu bas cedera parah manakala tujuh lagi cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan Superintendan Wan Hassan Wan Ahmad berkata, siasatan awal mendapati bas berkenaan membawa 26 penumpang selain pemandunya berusia 30-an serta pemandu kedua.

Bas ekspres berkenaan pula dalam perjalanan dari Perlis ke Johor Bahru, Johor.

“Pemandu terbabit dipercayai mengantuk sehingga gagal mengawal kenderaannya lalu merempuh belakang lori gas sebelum terbabas ke longkang di kiri jalan.

“Akibat rempuhan, pemandu bas terbabit tersepit manakala dua penumpang cedera parah,” katanya, semalam.

Dapatkan akhbar Metro Ahad untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 November 2014 @ 5:15 AM