PELAJAR sekolah turut memberi sambutan terhadap kunjungan GRHM.
PELAJAR sekolah turut memberi sambutan terhadap kunjungan GRHM.
Oleh Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Penjelajahan Geng Rovers Harian Metro (GRHM) terus mendapat sambutan hangat daripada pembaca setia akhbar berkenaan apabila mengunjungi beberapa lokasi tumpuan umum di Shah Alam serta Klang.

Lokasi pertama di Pasar Pagi Pandamaran, Klang seawal jam 8 pagi berjaya menarik pengunjung pasar berkenaan dan hampir 100 naskhah Harian Metro terjual tidak sampai 30 minit.

Selain pengunjung pasar, peniaga juga tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan naskhah akhbar berkenaan dan mereka sempat merakam gambar dengan GRHM.

Geng GRHM semakin teruja apabila bergerak ke lokasi kedua dan tiba sekitar jam 9.30 pagi di sekitar Pasar Awam Pelabuhan Klang dan sambutan agak mengejutkan apabila pengunjung bukan Melayu turut membeli akhbar Harian Metro.

Kesempatan itu turut digunakan geng GRHM untuk bertemu dengan penjual surat khabar sedia ada dan beramah mesra dengan mereka di samping membantu aktiviti jualan mereka.

Seterusnya, geng GRHM menuju ke lokasi ketiga di sekitar gerai makan Pelabuhan Klang dan setibanya di lokasi itu, sejumlah 120 salinan akhbar terjual dan sambutan amat menggalakkan.

Misi diteruskan ke lokasi keempat iaitu di sekitar Shah Alam Avenue 2, Shah Alam dan pelbagai aktiviti dilaksanakan seperti soal jawab kepada peminat Harian Metro.

Destinasi terakhir, geng GRHM berkunjung di sekitar Pusat Komersial Seksyen 7, Shah Alam dan setibanya dilokasi berkenaan, GRHM diserbu sekumpulan pelajar sekolah yang rata-rata adalah calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Keadaan di lokasi terakhir sangat meriah dengan pelbagai gelagat lucu daripada peserta yang menyertai permainan dianjurkan termasuk acara timang bola pingpong dan soal jawab.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:13 AM