Oleh Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menasihati orang ramai supaya tidak terpedaya dengan penyebaran berita palsu mengenai penjualan organ manusia dan perogol bersiri berikutan rampasan organ manusia di Thailand baru-baru ini.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) Asisten Komisioner Datin Asmawati Ahmad berkata, penemuan organ manusia yang diawet ke Amerika Syarikat baru-baru ini tiada kaitan dengan penyebaran berita itu.

Menurutnya, pihak polis sebelum ini pernah mengeluarkan kenyataan berhubung maklumat palsu yang disebarkan kononnya seorang suspek dikenali sebagai Mohd Faris Farhan Akhlaken Ahmad dikehendaki polis kerana membunuh beberapa mangsa.

“Berita palsu itu yang mula tersebar Jun lalu, mendakwa penjenayah mahu mendapatkan organ sebelum dijual di negara jiran.

“Bagaimanapun penyebaran berita palsu itu kembali aktif disebarkan individu yang tidak bertanggungjawab sehingga menggusarkan orang ramai,” katanya semalam.

Menurutnya, pihak polis negara ini tidak pernah menerima maklumat ataupun sebarang laporan polis yang menjurus kepada kejadian berkenaan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan atau berkongsi maklumat palsu kerana tindakan itu boleh mencetuskan kebimbangan dan menjejaskan ketenteraman awam,” katanya.

Sebelum ini, polis Thailand menyiasat tiga bungkusan berisi organ manusia diawet di sebuah premis syarikat penghantaran antarabangsa selepas dimaklumkan mengenai kotak mencurigakan itu.

Isi kandungan kotak terbabit disedari apabila pekerja syarikat penghantaran berkenaan di cawangan Rama III mendapati bungkusan berkenaan berisi anggota badan manusia.

Bungkusan itu berisi pelbagai anggota badan, termasuk kepala dan kaki bayi, kulit manusia bertatu harimau serta simbol misteri.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 November 2014 @ 5:13 AM