ANGGOTA bomba memadam kebakaran rumah di Kampung Parit Mustaffa, Parit Sulong, Batu Pahat. Foto ihsan pembaca
ANGGOTA bomba memadam kebakaran rumah di Kampung Parit Mustaffa, Parit Sulong, Batu Pahat. Foto ihsan pembaca
Essa Abu Yamin


Batu Pahat: "Majlis pertunangan saya terpaksa diteruskan dan dilakukan dengan hanya menyarungkan cincin sahaja walaupun rumah hangus dijilat api," kata Nur Hidayah Jahurin, selepas rumahnya terbakar di Kampung Parit Mustaffa Darat, Parit Sulong, dekat sini, hari ini.

Menurut Hidayah, 20, majlis ringkas itu diteruskan bersama pasangannya, Mohd Sahril Sairian, 30, di rumah saudaranya yang terletak bersebelahan rumah pusaka berusia 100 tahun yang hangus terbakar itu.

Menurutnya, mereka melakukan majlis itu ala kadar berikutan semua barang termasuk pelamin, barang hantaran dan makanan untuk tetamu turut hangus.

"Kebakaran berlaku satu jam sebelum majlis bermula yang dijangka pihak keluarga lelaki sampai pada 2.30 petang dan ketika itu saya sedang bersiap untuk majlis berkenaan.

"Ketika sedang bersolek, tiba-tiba saya terdengar bunyi suara riuh dari ruang tamu rumah dan ada yang menjerit ternampak kepulan asap tebal sebelum api marak menyambar pelamin.

"Lepas saya dengar jeritan itu saya terus bergegas keluar dari bilik, tetapi api sudah marak dan kami sekeluarga tidak sempat nak selamatkan apa-apa termasuk dokumen penting dan masing-masing keluar menyelamatkan diri," katanya ketika dihubungi hari ini.

Hidayah berkata, bapanya, Jahurin Tukiran, 54, pengsan selepas terkejut dengan kejadian terbabit manakala saudaranya berusia 32 tahun cedera akibat terpijak kaca.

Menurutnya, dia bekerja sebagai operator kilang manakala pasangannya adalah peniaga dan mereka merancang mengadakan majlis berkenaan sejak November tahun lalu tetapi terpaksa ditunda kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru-baru ini.

Menurutnya, mereka sekeluarga reda dengan ujian yang menimpa dan mungkin ada hikmahnya dengan kejadian itu.

"Alhamdulillah, ahli keluarga terdekat, orang ramai dan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah datang membantu memberikan barang keperluan dan pakaian untuk kami sekeluarga.

"Sementara waktu ini, kami sekeluarga menumpang di rumah saudara berhampiran dengan rumah dan pada masa sama kami sedang mencari rumah sewa untuk tempat tinggal," katanya.

Berita berkaitan

'Rumah terbakar sejam sebelum majlis pertunangan berlangsung [METROTV]'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Mac 2021 @ 10:19 PM