JALALUDDIN  (tengah) menunjukkan rokok  dirampas di perairan Ice Box.
JALALUDDIN (tengah) menunjukkan rokok dirampas di perairan Ice Box.

Tawau: Polis akan mengkaji semula konsep pertukaran barang (barter) diamalkan pedagang asing sekitar daerah ini berikutan penemuan 532,500 karton rokok dipercayai cuba diseludup ke negara ini, Jumaat lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, dalam operasi di Perairan Ice Box di sini, Pasukan Polis Marin (PPM) yang melakukan rondaan menahan sebuah kapal dagang untuk pemeriksaan.

“Pemeriksaan pada jam 5.50 petang menemui 532,500 karton rokok bernilai RM10.56 juta dipercayai cuba diagihkan kepada pembekal untuk dipasarkan ke sekitar daerah ini.

“Hampir sebahagian kapal ini dipenuhi rokok tanpa cukai dengan nilai keseluruhan termasuk kapal dianggarkan berjumlah RM10.9 juta,” katanya pada sidang media di Pangkalan PPM Tawau di sini, semalam.

Hadir sama Komander PPM Wilayah 4 Asisten Komisioner Mohamad Madun dan Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Awang Besar Dullah.

Jalaluddin berkata, berikutan penemuan itu, tujuh anak kapal berusia 27 hingga 45 tahun ditahan untuk siasatan lanjut selepas gagal menunjukkan dokumen berkaitan barangan dibawanya.

“Semua barang rampasan termasuk kapal diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

“Susulan penemuan rokok ini, polis akan mengkaji semula penggunaan kapal dagang di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) bagi mengekang sebarang aktiviti penyeludupan,” katanya.

Menurutnya, hasil risikan pihaknya mendapati penyeludup beralih kepada penggunaan kapal dagang untuk melakukan penyeludupan barang.

“Isu penyeludupan adalah isu utama selain penyeludup meraih keuntungan besar selain ada maklumat mendakwa mereka (penyeludup) memperkukuhkan dana bagi aktiviti keganasan.

“Polis mendapat maklumat penyeludup terpaksa menukar strategi mereka selepas kerajaan mengisytiharkan perintah berkurung di ESSZONE,” katanya.

Katanya, polis tidak menolak kemungkinan sindiket penyeludupan mempunyai ‘orang tengah’ yang membantu penyeludup menggunakan kapal dagang selepas membayar wang perlindungan.

“Dalang ini akan bertindak sebagai ‘mata dan telinga’ penyeludup dengan memberi maklumat mengenai pergerakan bot pasukan keselamatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Oktober 2014 @ 4:00 AM