Kotak mengandungi rokok pelbagai jenama dibuang ke laut ketika Ops Gelora Khas di perairan Batu 4, Tawau. FOTO IHSAN PPM
Kotak mengandungi rokok pelbagai jenama dibuang ke laut ketika Ops Gelora Khas di perairan Batu 4, Tawau. FOTO IHSAN PPM
Abdul Rahemang Taiming


PASUKAN Polis Marin (PPM) mematahkan cubaan menyeludup masuk 1,270 karton rokok pelbagai jenama menerusi ‘Op Gelora Khas’ di perairan Batu 4, Tawau, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, operasi bermula jam 7.30 malam tertumpu kepada aktiviti penyeludupan rokok susulan maklumat dan risikan dijalankan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, selepas lebih sejam intipan dijalankan, pihaknya mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan di lokasi kira-kira jam 8.30 malam.

Bagaimanapun katanya, sebaik menyedari kehadiran pasukan keselamatan, bot berkenaan memecut ke sempadan perairan Indonesia.

“Ketika pasukan mengejar bot ini, suspek dilihat menjatuhkan beberapa barang muatan ke laut sebelum gagal dikesan apabila bot itu berjaya memasuki perairan Indonesia.

“Semua barang kemudian telah diambil untuk diperiksa,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati barang itu mengandungi karton rokok pelbagai jenama.

Katanya, nilai keseluruhan rokok dianggarkan berjumlah RM38,100 dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, dalam kejadian berasingan, sebuah bot pukat tunda ditahan selepas didapati menjalankan aktiviti menangkap ikan pada jarak 1.7 batu nautika dari pantai Tanjung Saima jam 5.40 pagi tadi.

“Bot dan juragan dibawa ke Markas Operasi PPM Tawau untuk siasatan lanjut mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Ogos 2019 @ 10:12 AM