PASUKAN bomba menjalankan operasi menyelamat mangsa yang terkandas di Laman Tiga Budaya. FOTO Ihsan Bomba.
PASUKAN bomba menjalankan operasi menyelamat mangsa yang terkandas di Laman Tiga Budaya. FOTO Ihsan Bomba.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Seramai 88 orang membabitkan empat kumpulan pendaki diselamatkan pasukan bomba selepas terperangkap di air terjun Laman Tiga Budaya, Asahan, Jasin, hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Melaka, Penolong Pesuruhjaya Bomba Abu Bakar Katain berkata, angka rasmi itu direkodkan selepas operasi menyelamat selesai jam 4.42 petang tadi.

Menurutnya, sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 1 tengah hari Pasukan Keluaran Operasi (PKO) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jasin diketuai Penolong Penguasa Bomba Mohd Hanif Mustapa bergegas ke lokasi kejadian.

"Sejurus tiba pasukan bomba mendapati terdapat empat kumpulan pendaki berada di sekitar kaki Gunung Ledang terkandas disebabkan laluan keluar dari gunung ke Laman Tiga Budaya adalah menggunakan sungai.

"Laluan itu tidak dapat digunakan pada ketika itu kerana paras air sungai naik mendadak serta arus deras akibat hujan lebat pada tengah hari.

"Kumpulan pertama terdiri daripada 40 orang didapati selamat dan berjaya melintasi sungai berkenaan serta berada di Laman Tiga Budaya," katanya dalam kenyataan malam ini.

Beliau berkata, PKO meneruskan pencarian sehingga ke 600 meter arah pergunungan dan mendapati tiga kumpulan dengan keseluruhan 48 orang berada lokasi berkenaan.

"Kumpulan kedua terdiri daripada lapan orang termasuk pemanggil dan masing-masing 20 bagi kumpulan ketiga dan keempat.

"Ketiga-tiga kumpulan dibawa turun dengan selamat oleh PKO ke Laman Tiga Budaya menggunakan laluan alternatif tanpa melalui sungai berkenaan dan tidak mengalami apa-apa kecederaan," katanya.

Katanya, PKO BBP Jasin juga melaksanakan kerja pengalihan pokok tumbang dan memantau pengalihan kereta yang terperangkap dalam air di lokasi kejadian.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan 80 pengunjung Air Terjun Laman Tiga Budaya di Asahan, Jasin, terperangkap selepas kawasan itu dilanda kepala air, tengah hari tadi.

Berita berkaitan:

  • 80 pengunjung air terjun terperangkap akibat kepala air
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 11:39 PM