FOTO Amrullah Abd Karim
FOTO Amrullah Abd Karim
Oleh Amrullah Abdul Karim

Kuala Kubu Bharu: Lima belas pelancong asing dan tempatan terperangkap di kawasan perkelahan Sungai Chiling, dekat sini, sejak 6 petang semalam.

Sehingga tengah malam tadi, mereka dikatakan masih belum dapat kembali ke tapak utama berikutan air sungai meningkat dan deras.

Mangsa terdiri daripada tujuh warga Pakistan dan lapan warga tempatan namun identiti masih belum dikenal pasti.

Pegawai Bomba Kanan II, Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kubu Bharu, Md Razi Hassan, berkata pihaknya menerima panggilan pada 6.58 petang.

“Jentera pertama tiba di lokasi, setengah jam kemudian. Mangsa terperangkap di lokasi dan tidak dapat menyeberangi sungai berikutan air sungai yang deras.

"Bomba terpaksa menunggu sehingga keadaan selamat sebelum melakukan operasi membawa mangsa keluar," katanya.

Bagaimanapun, katanya, keadaan semua mangsa stabil.

Difahamkan, jarak lokasi perkelahan dengan tapak utama adalah kira-kira tiga kilometer dan pengunjung perlu mengharungi lima laluan sungai untuk sampai ke kawasan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Oktober 2015 @ 12:58 AM