KETUA Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. FOTO arkib NSTP
KETUA Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. FOTO arkib NSTP
Nurul Hidayah Bahaudin


Kuala Lumpur: Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) menerima perolehan bagi kelengkapan daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) membabitkan jumlah keseluruhan lebih RM20 juta.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, perolehan itu membabitkan kelengkapan keselamatan anti rusuhan iaitu masing-masing 1,000 unit Protective Armour Body (PAB) dan topeng bernilai RM10 juta.

Katanya, peruntukan sebanyak RM2.3 juta juga diperolehi bagi 13 laras Sniper Rifle .22.

"PSP juga memperolehi sepuluh van tempur berjumlah RM3.6 juta selain empat kenderaan 'float bonded truck' bagi kegunaan Unit Berkuda PSP membabitkan RM2.2 juta.

"Polis juga mendapat perolehan penggantian 175 laras senjata mengawal rusuhan (riot gun) dengan kos RM2.8 juta dan 10 anjing rusuhan berjumlah RM900,000.

"Aset bakal diperolehi itu nanti diharap akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh warga PSP untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik," katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Markas Pasukan Simpanan Persekutuan dan Sambutan Hari Ulang Tahun PSP ke-68, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai markas PSP, Razarudin berkata, pada asalnya markas itu terletak di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak, di sini, sebelum berpindah di Kem Briged Tengah, Cheras pada 2006.

"Markas baharu ini akan menempatkan Unit 1, Unit 4, Unit Berkuda PSP, Terup Wanita serta blok pentadbiran, pengangkutan, dewan dan blok perumahan buat warga PSP.

"Dengan adanya markas ini, ia membuktikan manifestasi pengiktirafan kerajaan terhadap pentingnya peranan PSP dalam menjaga keamanan dan ketenteraman awam.

"Kerajaan dan pucuk pimpinan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sentiasa mengambil cakna akan kebajikan dan keperluan aset warganya sejajar dengan arus pembangunan serta teknologi semasa," jelasnya.

Razarudin berkata, PSP adalah salah satu sayap kanan PDRM yang bernaung di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).

Katanya, seiring dengan peredaran masa, peranan dan fungsi PSP jauh lebih meluas dan mencabar serta tidak hanya tertumpu kepada hal membabitkan ketenteraman awam semata-mata.

"Peranan PSP termasuk tugas risikan dalam membantu membanteras kegiatan jenayah rentas sempadan seperti sindiket penyeludupan kontraban.

"Ia meliputi petrol, diesel bersubsidi, dadah, minuman keras, barangan keperluan harian yang juga barang kawalan seperti beras, tepung, gula dan lain-lain hasil khazanah negara.

"Selain itu, PSP turut terbabit dalam kawalan sempadan negara daripada pencerobohan pengganas dan menyekat kemasukan pendatang asing tanpa izin (Pati)," katanya.

Beliau berkata, Unit Berkuda PSP juga memberikan khidmat rondaan sepanjang sempadan negara termasuk di persisiran pantai.

"Sepanjang tempoh awal tahun ini sehingga Oktober lalu, sebanyak 41 kes membabitkan kesalahan penyeludupan kontraban, migran, ketum, mercun dan khazanah negara berjaya dikesan oleh PSP.

"Kesemua kes ini membabitkan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM31.8 juta dengan tangkapan seramai 163 individu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2023 @ 1:11 PM