Klinik dan penjagaan haiwan, CT Vet di Gelang Patah, Johor Bahru.
Klinik dan penjagaan haiwan, CT Vet di Gelang Patah, Johor Bahru.

Kuala Lumpur: Kecintaan terhadap dunia haiwan terutama kucing antara pendorong utama Dr Siti Nadzirah Zulkiffle, 33, menceburi bidang veterinar.

Dr Siti Nadzirah atau mesra disapa Dr Naz graduan Doktor Perubatan Veterinar di Universiti Putra Malaysia mengambil inisiatif mengasaskan klinik dan penjagaan haiwan, CT Vet di Gelang Patah, Johor Bahru.

Menurutnya, berpegang kepada prinsip setiap makhluk termasuk haiwan perlu dilayan dengan baik membulatkan tekadnya untuk memiliki klinik haiwan sendiri.

Dr Siti Nadzirah Zulkiffle
Dr Siti Nadzirah Zulkiffle

"Saya sendiri begitu dekat dengan haiwan terutama kucing. Hati memang cepat tersentuh dan hiba melihat haiwan itu di apa-apakan atau terbiar begitu saja.

"Kesedaran mengenai hal membela haiwan ini dengan baik sudah mula ada kalau mahu dibandingkan dulu. Cuma kita kena terus mendidik tentang pentingnya menjaga haiwan dengan cara betul. Jangan anggap kucing atau anjing ini setakat binatang semata-mata. Lagi banyak mendidik, lagi besar ruang kita bantu menjaga haiwan dengan baik. Jangan semberono," kata anak jati Johor Bahru yang sebelum ini pernah bercita-cita menjadi doktor bidan.

Anak sulung daripada tujuh beradik itu berkata, kewujudan banyak pilihan klinik haiwan yang menawarkan pelbagai perkhidmatan antara yang membuatnya tersenyum bangga.

"Klinik saya sendiri sampai tahap menawarkan khidmat rundingan percuma sejak Mac tahun lalu sebab nak galak lebih ramai lagi menjaga haiwan dengan betul.

"Tak dinafikan kos penjagaan rawatan haiwan boleh mencecah beribu ringgit. Macam kalau haiwan itu patah tulang boleh cecah empat angka kosnya," katanya.

Bagi meneruskan ruang memberi kesedaran yang mahu diperjuangkan, Dr Naz terus mahu menyedarkan lebih ramai pencinta haiwan terutama di JB dan berdekatan datang ke kliniknya.

"Selain berkongsi info penting dan tips, jika ada kesulitan melingkari haiwan peliharaan anda, datanglah ke Klinik CT Vet di Taman Nusa Perintis, Gelang Patah.

"Saya sendiri mewujudkan akaun media sosial seperti Instagram @klinik_haiwan_ct_vet, Facebook (klinik haiwan CT Vet) dan di aplikasi telegram sahabatctvet," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 November 2021 @ 3:29 PM