YULIA Minina bersama Kefir.
YULIA Minina bersama Kefir.
Agensi

Moscow: Hanya kerana saiz badannya yang besar, seekor kucing sering disalah anggap sebagai anjing.

Kucing baka Maine Coon yang dinamakan Kefir itu panjangnya 101.6 sentimeter, iaitu melebihi saiz normal kucing daripada baka berkenaan.

Pemiliknya, Yulia Minina, yang menetap di sebuah pekan kecil di Stary Oskol, Rusia, berkata, dia membeli anak kucing itu dua tahun lalu.

Namun, kini saiznya besar seperti harimau kumbang menyebabkan ramai orang tersilap menyangkanya sebagai anjing.

Katanya, ramai juga menyangka gambar kucing yang dimuat naik di media sosial itu sudah disunting menggunakan Photoshop.

"Dia bukan sahaja membesar dari segi rupa, malah sangat bijak dan sentiasa bersikap tenang.

"Pada umumnya Kefir mempunyai penampilan yang menggerunkan, tetapi ia kucing yang sangat penyayang dan sederhana," katanya dalam Daily Star.

Katanya, apabila rakan dan kenalan datang ke rumah, semua perhatian tertumpu kepada kucing itu yang gemar dibelai.

"Dia mempunyai satu lagi tabiat pada waktu malam iaitu suka memanjat saya dan tidur.

"Ketika dia masih anak kucing tiada masalah, tetapi kini apabila ia berat dan besar sudah tentu sukar untuk tidur seperti itu," katanya.

Menurutnya, Kefir kini berusia setahun 10 bulan dengan berat 12.5 kilogram.

"Dia masih dianggap anak kucing. Maine Coon biasanya membesar tiga hingga empat tahun.

"Jadi, saya rasa ia mungkin akan menjadi lebih besar nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 January 2022 @ 6:45 AM