Rizalman Hammim dan Badrul Kamal Zakaria


PERDANA Menteri Datuk Seri Najib Razak, hari ini mengisytiharkan Muar sebagai Bandar Perabot Malaysia berikutan potensi tinggi industri terbabit di bandar itu kepada negara.

“Saya lihat potensi industri perabot dan kayu-kayan khususnya di Muar ini sangat tinggi.

“Maka, saya sebut kepada Menteri Besar (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin), kalau kita lancarkan MFP (Muar Furniture Park) sahaja hari ini, ia tidak mencerminkan wawasan dan potensi Muar. Jadi, saya kata kenapa tidak kita lonjakkan daripada Muar Furniture Park (MFP) ini.

“Dengan itu, saya umumkan kerajaan mengisytiharkan Muar sebagai Furniture City of Malaysia (Bandar Perabot Malaysia). Ini adalah tawaran istimewa kepada tuan puan di Muar khususnya industri perabot di Muar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian MFP Pelancaran SuperBumi di Tapak Projek MFP di Batu 81/2 Jalan Bakri, Muar, hari ini.

MFP, dibina di tanah seluas hampir 400 hektar, hasil kerjasama Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan pihak industri berkaitan perabot untuk memperkasakan industri itu.

Ia adalah pusat pembangunan industri perabot bersepadu yang menempatkan kilang perabot dengan pelbagai kemudahan utama seperti pusat pembekalan bahan mentah, pusat pameran, pusat reka bentuk dan pusat latihan.

MFP dijangka mampu mencatat nilai jualan sebanyak RM1.08 bilion dalam tempoh 10 tahun serta menyediakan 5,000 peluang pekerjaan.

NAJIB (tengah), Rosmah (kanan) dan Rahah (kiri) beramah mesra dengan tetamu. FOTO Hafiz Sohaimi
NAJIB (tengah), Rosmah (kanan) dan Rahah (kiri) beramah mesra dengan tetamu. FOTO Hafiz Sohaimi

Najib juga ingin melihat program Skim Usahawan Perabot Bumiputera (SuperBumi) dapat melonjakkan lebih ramai usahawan dalam industri yang semakin berkembang itu dengan penyertaan semua kaum di negara ini.

Selain itu, Najib berkata, kerajaan akan menyiasat dakwaan yang mengatakan pinjaman khas untuk industri perabot, tidak sampai kepada kumpulan sasaran.

“Kerajaan sudah sediakan dalam Bajet 2018, pinjaman khas berjumlah RM100 juta untuk tujuan formasi pengeluaran perabot tempatan ke pasaran eksport.

“Bagaimanapun, saya difahamkan dana ini tidak sampai ke sasarannya. Kita akan siasat apa kekangan yang menyebabkan tujuan kerajaan itu tidak sampai ke sasaran berkenaan,” katanya.

Beliau juga berharap industri perabot dapat mengamalkan automasi dan menggunakan teknologi terkini bagi mengatasi masalah berkaitan pekerja asing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 4:32 PM