APEX Legend yang menggunakan latar dunia TitanFall 2 turut ditawarkan secara percuma.
APEX Legend yang menggunakan latar dunia TitanFall 2 turut ditawarkan secara percuma.
Muhammad Saufi Hassan


KIRA-KIRA dua tahun lalu, penggemar sukan elektronik diperkenalkan dengan genre permainan yang cukup berbeza yang dikenali sebagai Battle Royale atau pertempuran beramai-ramai.

Konsep permainan itu begitu mudah apabila kira-kira 100 pemain akan memilih lokasi pendaratan mereka di atas semua landskap peta terbuka.

Pemain akan mencari peralatan persenjataan mereka seperti jenis senjata sama ada pistol atau raifal tempur sehingga kepada kelengkapan peperangan seperti topi keselamatan, jaket kevlar dan aksesori persenjataan termasuk holografik sasaran.

Konsep permainan pula berdasarkan kepada pengecilan kawasan pertempuran untuk sesuatu tempoh masa maka pemain akan cuba menyelamatkan diri, menembak musuh dan sentiasa berada dalam bulatan selamat untuk setiap tempoh waktu.

Walaupun konsep permainan itu begitu mudah, judul tunggal yang menggunakan pendekatan berkenaan adalah PlayerUnknown’s Battlegrounds (PUBG) mendapat sambutan luar biasa malah menjadi fenomena pemain sukan elektronik.

Selepas kejayaan PUBG mengutip berbilion dolar keuntungan hasil daripada corak permainan konsep baharu itu, Fortnite muncul namun lebih menarik apabila permainan itu ditawarkan secara percuma berbanding PUBG yang meletakkan tanda harga sekitar RM75.

Kejayaan kedua-dua judul berkenaan umpama resipi mudah kepada pembangun permainan lain apabila pelbagai judul permainan yang menampilkan konsep Battle Royale berada di pasaran.

PEMBANGUN permainan menyediakan konsep Battle Royale sebagai pendapatan mudah.
PEMBANGUN permainan menyediakan konsep Battle Royale sebagai pendapatan mudah.

Judul ternama, Call of Duty Black Ops 4 tidak ketinggalan menawarkan konsep sama namun uniknya, Black Ops 4 mempunyai pelbagai mod permainan dalam talian.

Selain itu, Apex Legends yang menggunakan latar dunia TitanFall 2 turut ditawarkan secara percuma, sekali gus mengakibatkan pasaran permainan untuk segmen Battle Royale dianggap ‘tepu’.

Penulis berasakan, jika ada pembangun yang mampu mencipta permainan genre Battle Royale namun tidak terhad kepada pertempuran atas darat dan pemain boleh menaiki bermacam kenderaan tempur termasuk jet, bakal meraih pendapatan berbilion dolar kerana kebanyakan pemain mahukan kebebasan dalam permainan.

Pada pandangan penulis, mod permainan Battle Royale ini sudah dianggap tepu kerana banyak judul permainan dengan kualiti yang baik sudah mendominasi segmen berkenaan.

Bagaimanapun, perkara yang membezakan setiap judul adalah kandungan serta mekanikal permainan itu sendiri seperti mana PUBG untuk bertahan lebih dua tahun dengan mod berkenaan.

Pemain sukan elektronik kebiasaannya akan mencari judul permainan dengan kualiti kandungan dan prestasi pelayan utama yang baik tanpa banyak masalah.

Penulis juga berpendapat pembangun permainan perlu memikirkan konsep lain memandangkan genre Battle Royale sudah begitu ‘matang’ dan memerlukan penampilan konsep baharu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 Ogos 2019 @ 9:58 AM