PENGGUNA perlu lebih waspada dalam memberikan pandangan di media sosial supaya tidak menyentuh sebarang sensitiviti.
PENGGUNA perlu lebih waspada dalam memberikan pandangan di media sosial supaya tidak menyentuh sebarang sensitiviti.
MEDIA sosial jadi platform tumpuan untuk mendapatkan berita terkini, tetapi platform itu juga terdedah dengan pandangan umum.
MEDIA sosial jadi platform tumpuan untuk mendapatkan berita terkini, tetapi platform itu juga terdedah dengan pandangan umum.
Oleh Muhammad Saufi Hassan


RUANG siber sememangnya menjanjikan kepelbagaian maklumat dan tidak keterlaluan jika disifatkan ia satu 'dunia infiniti' dalam medan informasi, kajian, jurnal dan sebagainya.

Begitu juga dengan platform media sosial, platform itu menjadi ruang untuk berkongsi maklumat terkini serta merapatkan jurang telekomunikasi digital tidak mengira sempadan fizikal negara.

Bagaimanapun, ruang sama itu turut memberikan ancaman sama ada dalam aspek ketirisan maklumat, pandangan umum yang tiada sempadan serta hantaran jelik.

Isu hantaran jelik yang dilakukan oleh pengguna ruang siber ini bukan lagi isu baharu sebaliknya sudah menjadi satu perkara yang 'sinonim' dalam konotasi negatif.

Melabel orang lain dengan suatu nama yang tidak sepatutnya, mengheret perdebatan bangsa serta agama sudah menjadi 'tema' dalam hantaran jelik pada ketika ini.

Sekretariat Perhubungan Awam, Komuniti Keselamatan Siber Malaysia (rawSEC), Rahimah Rahim berkata, media sosial sering kali disalah guna apabila masyarakat terlalu terpesong dengan tindakan emosi dan tergesa-gesa berkongsi maklumat tanpa menyemak kesahihannya.

Beliau berkata, segelintir rakyat negara ini cenderung menggunakan media sosial secara berlebihan dan secara tidak langsung merumitkan keadaan.

Katanya, ini boleh mengakibatkan penyebaran maklumat palsu, persepsi yang tidak tepat atau kehilangan sensitiviti terhadap isu penting seperti kematian atau tragedi.

"Peruntukan undang-undang sedia ada mungkin tidak mencukupi untuk mengatasi kesan negatif penggunaan media sosial, termasuk hantaran jelek.

"Ini boleh disebabkan cabaran teknologi yang berterusan, kecekapan undang-undang yang rendah atau ketidakseimbangan antara kebebasan bersuara dan perlindungan terhadap pengguna.

LANGKAH lebih strategik diperlukan untuk membendung hantaran jelik.
LANGKAH lebih strategik diperlukan untuk membendung hantaran jelik.

"Pada masa ini, kerajaan merangka akta untuk buli siber bagi menangani masalah seperti ini," katanya.

Untuk mengatasinya, Rahimah berkata, kerajaan perlu menambah baik undang-undang sedia ada untuk memastikan hukuman sesuai bagi mereka yang menyebarkan maklumat palsu atau tidak sensitif, peningkatan kesedaran awam mengenai kesan negatif media sosial dan kerjasama dengan pemilik platform media sosial untuk menguatkuasakan dasar dan garis panduan yang lebih ketat.

Katanya, akta buli siber yang masih dirangka perlu merangkumi hukuman kepada mereka yang terbukti bersalah dalam penyebaran maklumat palsu atau tulisan tidak sensitif ini.

"Kerajaan melalui Kementerian Pendidikan juga boleh menerapkan pendidikan awal kepada pelajar sekolah dan institusi pengajian tinggi mengenai penggunaan media sosial secara berhemah.

"Populasi terkini penduduk Malaysia adalah 33 juta, sementara itu jumlah pengguna media sosial mencapai 28 juta.

KECENDERUNGAN menggunakan media sosial secara berlebihan dorong penyebaran maklumat palsu serta hantaran jelik.
KECENDERUNGAN menggunakan media sosial secara berlebihan dorong penyebaran maklumat palsu serta hantaran jelik.

"Angka ini merangkumi sebahagian besar iaitu 84 peratus, daripada populasi negara.

"Perlu diingat bahawa pengguna media sosial tidak hanya terdiri daripada orang dewasa, tetapi juga remaja dan kanak-kanak. Walaupun had umur bagi kebanyakan platform media sosial adalah 13 tahun, kita sedar bahawa ada sebilangan besar individu di bawah umur 13 tahun yang menggunakan aplikasi seperti TikTok terutamanya," katanya.

Rahimah berkata, berbeza dengan aplikasi perbankan atau e-wallet yang memerlukan pengguna untuk membuat e-KYC (electronic Know-Your-Customer) atau kenali pelanggan, di mana pengguna hendaklah menunjukkan kad identiti dan gambar semasa, platform media sosial tidak mempunyai saringan berkenaan.

Menurutnya, pengguna hanya perlu memasukkan tarikh lahir mereka, membolehkan kanak-kanak di bawah usia 13 tahun memuat turun aplikasi itu, memasukkan tarikh lahir palsu dan terus menggunakan platform itu.

"Idea untuk menyenarai hitam pengguna media sosial yang tidak beretika mungkin menimbulkan beberapa pertimbangan etika dan praktikal.

"Sementara ia boleh menjadi langkah untuk memperingatkan atau menghalang tingkah laku tidak diingini, ia juga mungkin menimbulkan risiko penyalahgunaan dan penindasan terhadap kebebasan bersuara.

"Oleh itu, perlu ada keseimbangan yang baik antara menggalakkan pertanggungjawaban dan menjaga kebebasan individu dalam persekitaran siber," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 28 Mei 2024 @ 6:20 AM