PADANAN cip pemproses Snapdragon 6 Gen 1 beri keupayaan yang mengagumkan khusus untuk aplikasi kompleks.
PADANAN cip pemproses Snapdragon 6 Gen 1 beri keupayaan yang mengagumkan khusus untuk aplikasi kompleks.
Muhammad Saufi Hassan


Ringan, lengkap dengan papan kekunci, hayat bateri tahan lama dan mudah dibawa ke mana saja.

Itu elemen yang memenuhi tugasan produktiviti pengguna pada hari ini malah peranti berkonsep tablet sedikit sebanyak sudah mendominasi segmen produktiviti kerana ia mudah untuk dibawa.

Untuk itu, penulis mencadangkan peranti baharu keluaran Honor iaitu Honor Pad 9 yang dikuasakan dengan cip pemproses Qualcomm Snapdragon 6 Gen 1 binaan 4nm yang dipadankan bersama keupayaan memori (RAM) 16GB serta 8GB Honor RAM Turbo.

Secara asasnya, penulis cenderung untuk memiliki peranti berkonsepkan tablet kerana faktor mobiliti selain keupayaan spesifikasi sesebuah peranti untuk melancarkan apa saja aplikasi khususnya membabitkan penyuntingan video.

Bagi tujuan berkenaan, penulis memilih Honor Pad 9 yang bukan saja 'mesra poket' malah memiliki keupayaan untuk melancarkan apa juga aplikasi kompleks khususnya jika membabitkan suntingan video.

Peranti ini juga mampu untuk melakukan suntingan video dan ujian turut dilaksanakan terhadap bahan video durasi 10 minit dengan resolusi 4K.

Penulis juga melakukan suntingan dengan beberapa 'layer' video dengan resolusi sama dan hasil suntingan itu, hanya memerlukan masa sekitar tujuh hingga 11 minit untuk melakukan 'rendering' penuh.

HONOR Pad 9 menawarkan keupayaan mobiliti kepada pengguna.
HONOR Pad 9 menawarkan keupayaan mobiliti kepada pengguna.

Sesuai untuk tablet produktiviti, Honor Pad 9 ini dilengkapi dengan saiz skrin 12.1 inci bersama Honor FullView dan keupayaan mencapai 1.07 bilion warna sekali gus sesuai untuk penyedia kandungan.

Kapasiti bateri pula 8,300mAh membolehkan peranti melakukan apa saja tugasan sepanjang hari tanpa perlu melakukan pengecasan selain keupayaan 35W SuperCharge.

Peranti ini juga didatangkan dengan dua variasi iaitu untuk versi WiFi serta 5G dan pengguna boleh membuat pilihan versi yang sesuai untuk memenuhi tugasan seharian pengguna.

Honor Pad 9 yang dipadankan bersama papan kekunci ini mampu merubah landskap produktiviti serta mobiliti dan memenuhi keperluan seharian pengguna.

PENGGUNA lebih cenderung untuk memilih peranti ini kerana mudah dibawa dan jangka hayat bateri yang mengagumkan.
PENGGUNA lebih cenderung untuk memilih peranti ini kerana mudah dibawa dan jangka hayat bateri yang mengagumkan.

Ia dikuasakan dengan sistem operasi MagicOS 7.2 yang berasaskan kepada sistem operasi Android 13.

Secara keseluruhannya, pengguna memilih Honor Pad 9 ini kerana aspek mobiliti dan ia mampu beroperasi bak sebuah laptop.

Pujian harus diberikan berhubung kapasiti bateri dan kefungsian pengecasan pantas ini yang sangat memudahkan pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 April 2024 @ 6:11 AM