MACBOOK Air sesuai untuk produktiviti harian memandangkan peranti berkenaan menawarkan ketahanan bateri selain elemen prestasi yang mengagumkan.
MACBOOK Air sesuai untuk produktiviti harian memandangkan peranti berkenaan menawarkan ketahanan bateri selain elemen prestasi yang mengagumkan.
Muhammad Saufi Hassan

Ringan, ketahanan bateri, penawaran ekosistem pintar dan mudah dibawa ke mana saja untuk memenuhi tugasan harian atau melaksanakan sebarang kerja berkaitan produktiviti.

Itu adalah empat elemen paling penting untuk pengguna apabila mereka lebih cenderung untuk memilih peranti mudah alih yang mempunyai semua elemen berkenaan sekali gus memudahkan tugasan harian mereka.

Jika menyentuh kategori laptop di pasaran yang menawarkan keempat-empat perkara berkenaan, ia sebenarnya sukar untuk didapati kerana ada peranti yang menawarkan elemen ringan, ketahanan bateri tetapi tidak dilengkapi dengan penawaran ekosistem pintar.

Pengguna juga cenderung untuk memiliki rekaan peranti yang minimal kerana ia bukan saja mudah dibawa malah senang untuk disimpan di mana-mana tempat yang kecil.

Bagi semua elemen berkenaan, penulis ingin mencadangkan kepada pengguna untuk melihat produk terbaharu keluaran Apple menerusi MacBook Air versi baharu yang menawarkan semua elemen berkenaan.

PENGGUNA hari ini cenderung untuk memilih peranti boleh bawa yang memenuhi tugasan harian mereka di samping penawaran ekosistem pintar.
PENGGUNA hari ini cenderung untuk memilih peranti boleh bawa yang memenuhi tugasan harian mereka di samping penawaran ekosistem pintar.

Sebelum penulis pergi dengan lebih jauh, spesifikasi MacBook Air boleh didapati menerusi dua variasi iaitu untuk pemproses Intel Core i3 sehingga Intel Core i7 dengan kelengkapan storan bermula 256GB PCIe SSD.

Kelebihan untuk produk Apple apabila syarikat berkenaan memberi kebebasan kepada pengguna untuk melakukan konfigurasi spesifikasi menerusi cara pemakaian pengguna itu sendiri.

Contohnya, pengguna boleh melakukan konfigurasi pemproses kepada Intel Core i7 bersama storan 2TB SSD jika pengguna merasakan spesifikasi berkenaan bersesuaian dengan tugasan dan produktiviti harian.

MacBook Air didatangkan dengan tiga warna iaitu Gold, Space Grey dan Silver dan ia bersaiz 13.3 inci paparan LED-Backlit dengan resolusi 2,560 x 1,600.

Apple sememangnya terkenal dengan ciri keselamatan terbaik yang ada dipasaran dan MacBook Air dilengkapi dengan sensor Touch ID manakala konfigurasi memori (RAM) boleh dibuat sehingga 16GB.

PENYELARASAN MacBook Air dengan peranti iPhone boleh dibuat sekali gus memberi kebebasan kepada pengguna untuk mengakses fail dalam peranti berbeza
PENYELARASAN MacBook Air dengan peranti iPhone boleh dibuat sekali gus memberi kebebasan kepada pengguna untuk mengakses fail dalam peranti berbeza

Berbalik kepada tema produktiviti dan ketahanan bateri, MacBook Air mampu untuk beroperasi melebihi 12 jam menerusi kepenggunaan optimum tanpa perlu risau untuk menyambung pengecas.

Berat hanya 1.29 kilogram (KG) menjadikan MacBook Air mudah untuk dibawa ke mana saja dan bagi wanita berkerjaya, ia boleh dimuatkan di dalam beg tangan bersaiz sederhana tanpa sebarang masalah.

Pengalaman penulis menggunakan MacBook Air untuk tugasan penyuntingan video serta gambar juga tidak memberi masalah sedangkan ia adalah proses operasi yang berat.

Aspek penawaran ekosistem pintar pula, Apple sememangnya terbaik untuk penawaran ini apabila semua peranti boleh diselaraskan untuk mempunyai maklumat yang sama.

Tidak timbul masalah jika anda terlupa untuk menyalin dokumen atau fail yang disimpan di dalam iPad contohnya kerana ia boleh diakses melalui semua peranti menggunakan identiti yang sama.

Secara keseluruhannya, MacBook Air sememangnya berada dalam kelas tersendiri jika menyentuh aspek mobiliti kerana peranti daripada barisan itu terkenal dengan ciri mudah alih dan rekaan minimalisnya.

Tidak keterlaluan jika penulis memberikan markah penuh iaitu 5 / 5 untuk prestasi sistem operasi, pelaksanakan produktiviti dan keupayaan bateri yang sangat mengagumkan walaupun ia digunakan dengan optimum.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2020 @ 6:11 AM