iPHONE 15 Pro Max
iPHONE 15 Pro Max
Muhammad Saufi Hassan


Tahun 2023 bakal melabuhkan tirainya kira-kira tiga minggu lagi dan sepanjang tahun ini ada pelbagai pelancaran peranti telefon pintar yang mengubah landskap kepenggunaan secara keseluruhannya.

Untuk itu, pada minggu ini dan minggu seterusnya, #ITMetro akan menyenaraikan beberapa 'raja dalam kalangan raja' peranti berdasarkan keupayaan serta prestasi yang ditawarkan kepada pengguna.

Bagaimanapun, tumpuan sebenarnya terarah kepada prestasi kamera untuk setiap peranti dan itu yang menjadi titik penentu.

Bagi #ITMetro, penilaian dibuat berdasarkan beberapa faktor antaranya kamera terbaik, pemuka yang licin dan mesra pengguna, cip pemproses yang mampu untuk melancarkan sebarang aplikasi serta beberapa sudut penilaian lain.

Berikut adalah empat kategori peranti pintar terbaik 2023 berdasarkan kepada keupayaan peranti.

Peranti Pintar Terbaik 2023 - iPhone 15 Pro Max

Penilaian untuk kategori ini sangat mudah dilakukan kerana ia bukan saja dinilai daripada aspek kamera semata-mata, malah keupayaan cip pemproses, paparan, kelicinan pemuka dan maklum balas pengguna.

Seperti tahun sebelumnya, Apple masih mengekalkan penguasaannya dalam 'Peranti Pintar Terbaik 2023,' jika dilihat pada tahun lalu, ia kekal milik iPhone.

Takhta ini sukar untuk dicabar kerana Apple menawarkan kualiti peranti pada tahap terbaik bukan semata-mata mengharapkan prestasi kamera sebaliknya daripada kepelbagaian faktor.

Peranti iPhone 15 Pro Max ini juga mampu melancarkan apa juga aplikasi termasuk keupayaan melakukan penugasan yang kompleks tanpa sebarang masalah.

Jadi, untuk 2023, iPhone 15 Pro Max adalah 'maharaja' peranti pintar dan tiada yang lain seumpama dengannya.

SAMSUNG Galaxy S23 Ultra
SAMSUNG Galaxy S23 Ultra

Peranti Kamera Terbaik 2023 - Samsung Galaxy S23 Ultra

Ini juga tidak memberi sebarang 'sakit kepala' kepada penulis untuk memilih 'raja kamera' kerana Samsung Galaxy S23 Ultra adalah yang terbaik daripada kalangan terbaik.

Menerusi penetapan kamera kuad dan keupayaan rakaman ketika malam yang mengagumkan, Samsung Galaxy S23 Ultra adalah juaranya.

Bermula dengan rakaman imej pada keadaan pencahayaan kurang sehingga kepada imej bulan, peranti ini mampu melakukan tugas untuk merakam gambar tanpa sebarang masalah.

Malah, ia adalah tugas rutin untuk peranti ini melaksanakan keupayaan kamera yang sentiasa pada tahap terbaik.

ONEPLUS Open
ONEPLUS Open

Peranti 'Foldable' Terbaik 2023 - OnePlus Open

Tahun 2023 adalah tahun di mana banyak pemain industri utama memanfaatkan ruang serta peluang untuk menambah serta mempertingkatkan keupayaan peranti dengan skrin boleh lipat.

Jumlah model peranti pada tahun ini juga lebih banyak dengan peningkatan yang begitu signifikan.

Untuk itu, OnePlus Open adalah juara bagi kategori ini menewaskan beberapa pesaing gergasi.

Kunci kejayaan peranti ini adalah rekaannya yang nipis dan ringan bersama-sama dengan tempoh jangka hayat bateri yang lebih lama.

Tambahan pula, harga yang ditawarkan untuk peranti ini tidak begitu 'melangit' dan tanda harganya masih boleh difikirkan untuk dibeli pengguna.

SAMSUNG Galaxy A54
SAMSUNG Galaxy A54

Peranti Bajet Terbaik 2023 - Samsung Galaxy A54

Ada pelbagai peranti dan jenama berada pada tahap produk mampu milik ini selain ia memberi saingan sengit berhubung juara dalam kategori ini.

Namun, selepas penulis melakukan timbang tara yang begitu cermat, Samsung Galaxy A54 adalah juaranya berdasarkan kepada keupayaan spesifikasinya jika dibandingkan dengan peranti lain.

Skrin peranti ini juga menggunakan panel AMOLED dengan kadar segar semula 120Hz memberikan nilai tambah yang signifikan untuk model ini.

Ketahanan baterinya begitu mengagumkan apabila mampu bertahan sepanjang hari tanpa sebarang masalah.

Kapasiti bateri 5,000mAh menjadikan peranti ini mampu beroperasi pada tahap paling optimum sepanjang hari tanpa perlu melakukan pengecasan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Disember 2023 @ 6:20 AM