TIGA segmen telefon pintar paling utama dinilai berasaskan aspek keupayaan serta prestasi.
TIGA segmen telefon pintar paling utama dinilai berasaskan aspek keupayaan serta prestasi.
Muhammad Saufi Hassan
saufi@mediaprima.com.my


TAHUN 2020 bakal melabuhkan tirainya kurang tiga minggu lagi dan sepanjang tahun ini menyaksikan pelbagai pelancaran telefon pintar yang menampilkan spesifikasi serta keupayaan tersendiri.

Untuk itu, #ITMetro akan menyenaraikan tiga segmen telefon pintar paling utama dan dinilai berasaskan daripada aspek keupayaan serta prestasi di samping ciri khusus yang ditampilkan.

PERANTI PREMIUM TERBAIK 2020

Apple iPhone 12 Pro Max

Tanpa perlu berfikir panjang dan menimbang tara semua spesifikasi serta keupayaan, telefon pintar paling ikonik iPhone 12 Pro Max adalah pemenang untuk peranti terbaik tahun ini.

Ia adalah berteraskan kepada aspek keupayaan serta padanan spesifikasi yang digunakan mengatasi setiap peranti lain di pasaran.

Paling menyerlah adalah penggunakan cip pemproses Apple A14 Bionic dengan rekaan 5nm, sekali gus menjadi peranti pertama yang menggunakan cip berkenaan.

Tahap kecekapan pemproses serta bateri peranti ini juga mengagumkan dan mampu untuk bertahan lebih 24 jam biarpun penggunaan optimum membabitkan pengulangan video atau permainan.

Skrin berkeluasan 6.7 inci berkenaan dengan padanan paparan Super Retina XDR OLED yang berkeupayaan menghasilkan 800nits sememangnya sangat baik.

Kefungsian pelbagai tugas juga tidak perlu dipertikaikan apabila peranti ini sangat berjaya termasuk rakaman gambar malam yang paling memukau hasil daripada padanan sensor baharu.

Seperti tahun sebelumnya, Apple tidak pernah gagal menghasilkan peranti yang mampu untuk merakam video dengan kestabilan serta tona warna paling realistik dan iPhone 12 Pro Max adalah bukti paling unggul.

Peranti berkenaan mampu untuk merakam video dalam resolusi 4K dengan 60 kadar segar semula (FPS) dan jika dibandingkan, rakaman video iPhone 12 Pro Max adalah paling 'fluid' jika dibandingkan dengan peranti lain.

Rekaan baharu peranti ini juga mengimbau kembali kenangan iPhone 5 dan ia satu rekaan yang bijak serta elegan tatkala pengguna memegang peranti ini.

Maka, tidak hairan, iPhone 12 Pro Max dinobatkan sebagai peranti terbaik tahun ini.

APPLE menerusi iPhone 12 Pro Max diiktiraf sebagai peranti pintar terbaik 2020.
APPLE menerusi iPhone 12 Pro Max diiktiraf sebagai peranti pintar terbaik 2020.

PERANTI KELAS PERTENGAHAN TERBAIK 2020

Samsung Galaxy S20 FE

Samsung sememangnya terkenal dengan jenama pengeluar telefon pintar kelas premium namun syarikat ini juga tidak pernah gagal untuk mengeluarkan peranti kelas lain yang baik.

Menerusi Galaxy S20 FE, Samsung membuktikan bahawa mereka juga mampu untuk menghasilkan peranti kelas pertengahan yang baik dan peranti ini didatangkan dengan panel paparan 120Hz yang sangat bersesuaian dengan permainan mudah alih.

Padanan spesifikasinya juga sangat baik apabila dikuasakan dengan pemproses Qualcomm Snapdragon 865 dengan rekaan 7nm bersama padanan memori (RAM) 8GB.

Pengguna juga boleh membuat pilihan storan antara 128GB serta 256GB mengikut kesesuaian dan turut didatangkan dengan sambungan Internet Tanpa Wayar (WiFi) 6.

Peranti ini menggunakan tetapan tiga lensa iaitu lensa utama 12 Megapiksel (MP), 8MP telefoto dan 12 sudut ultra lebar dan kamera swafoto berkeupayaan 32MP.

Samsung Galaxy S20 FE didatangkan dengan kapasiti batri 4,500mAh dengan pengecas pantas 25W serta pengecas tanpa wayar pantas 15W.

SAMSUNG S20 FE peranti kelas pertengahan terbaik kerana sesuai dengan tanda harga ditawarkan selain padanan spesifikasi premium.
SAMSUNG S20 FE peranti kelas pertengahan terbaik kerana sesuai dengan tanda harga ditawarkan selain padanan spesifikasi premium.

PERANTI KELAS PERMULAAN TERBAIK 2020

Xiaomi Redmi 9

Xiaomi sememangnya banyak mengeluarkan peranti kelas pertengahan dan permulaan yang baik daripada aspek spesifikasi serta prestasi.

Untuk peranti kelas permulaan terbaik tahun ini, Xiaomi Redmi 9 adalah jawapan mudah memandangkan ia mempunyai tanda harga mampu milik selain padanan spesifikasi yang sesuai dengan kelasnya.

Xiaomi Redmi 9 dikuasakan dengan pemproses MediaTek Helio G80 dengan binaan 12nm bersama padanan memori (RAM) bermula daripada 3GB hingga 6GB mengikut pilihan variasi.

Skrin paparan peranti ini menggunakan panel IPS LCD dengan kadar kecerahan 400nits sesuai dengan semua jenis pencahayaan malah turut dilengkapi dengan Corning Gorilla Glass 3.

Peranti ini didatangkan dengan tetapan kamera kuad, lensa utama 13 Megapiksel (MP), 8MP sudut ultra lebar, 5MP lensa makro dan 2MP lensa kedalaman.

XIAOMI Redmi 9 yang mampu milik selain tidak mengabaikan aspek prestasi.
XIAOMI Redmi 9 yang mampu milik selain tidak mengabaikan aspek prestasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Disember 2020 @ 6:50 AM