Muhammad Saufi Hassan

 

 

Mungkin ada dalam kalangan pengguna yang mahukan peranti berkuasa namun tidak mempunyai bajet yang tinggi memandangkan semua peranti kelas perdana mempunyai tanda harga yang 'keras'.

  Untuk itu, jawapan terbaik adalah peranti baharu keluaran Samsung iaitu Galaxy S23 FE yang memiliki ciri peranti kelas perdana tetapi dalam masa sama, mempunyai tanda harga lebih 'rahmah'.

  Kekuatan peranti ini adalah binaan premium di samping penawaran kamera yang bagus khusus harga lebih mampu milik jika dibandingkan dengan variasi Galaxy S23 Ultra.

  Menerusi pandang pertama peranti ini, penulis sangat berpuas hati dengan rekaan fizikal serta binaan reka bentuk yang kelihatan sangat 'solid' di samping prestasi mengagumkan persis kelas perdana.

  Menyentuh aspek spesifikasinya, peranti ini dikuasakan dengan cip pemproses daripada variasi Exynos 2200 serta Qualcomm Snapdragon 8 Gen 1 yang melaksanakan operasi Android 13.

  Saiz ukuran skrin untuk peranti ini pula adalah 6.4 inci iaitu lebih besar jika dibandingkan dengan Galaxy S23 dan sedikit kecil jika diletakkan bersebelahan dengan Galaxy S23+.

  Skrin paparan pula menggunakan Dynamic AMOLED 2X bersama-sama sokongan 120Hz dengan kadar kecerahan maksimum 1450 nits.

  Peranti ini menggunakan tetapan tiga lensa iaitu 50 megapiksel (MP) sudut lebar, 8MP telefoto dan 12MP sudut ultra lebar.

  Samsung menerusi generasi peranti Galaxy sememangnya menawarkan keupayaan rakaman gambar terbaik dalam kelasnya dan keupayaan itu turut terhasil menerusi S23 FE ini.

  Penulis sangat berpuas hati dengan keupayaan kamera peranti ini kerana mampu setanding dengan variasi Galaxy S23 kelas tinggi.

  Rakaman imej khusus untuk suasana pencahayaan kurang serta malam tidak menjadi masalah untuk S23 FE malah gambar yang terhasil jelas tanpa sebarang 'noise'.

  Walaupun peranti ini hanya menggunakan padanan memori (RAM) 8MP, namun ia mampu melancarkan pelbagai tetingkap aplikasi tanpa masalah, kelengahan mahupun gangguan kepada sistem operasi.

  Penulis merasakan bahawa ia adalah peranti dengan tanda harga kurang RM3,000 namun prestasinya mampu setanding dengan S23 Ultra.

  Pengenalan peranti ini sememangnya dikhususkan untuk pengguna yang tidak mampu memiliki variasi Ultra namun mereka boleh memiliki persis prestasi dengan S23 FE.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 10:48 PM