Muhammad Saufi Hassan


Memiliki peranti yang mempunyai keupayaan kamera terbaik sememangnya menjadi idaman pengguna khususnya ketika pencahayaan kurang atau waktu malam.

  Bagaimanapun, tidak banyak peranti yang menawarkan keupayaan lensa sebegitu dan selalunya, ia hanya membabitkan peranti kelas perdana.

  Untuk itu, Samsung menerusi Galaxy S23 FE menawarkan peranti dengan tanda harga di bawah RM3,000 serta menggunakan spesifikasi kelas perdana.

  Peranti ini menggunakan tetapan tiga lensa iaitu lensa utama berkeupayaan 50 megapiksel (MP) sudut lebar, 8MP telefoto dan 12MP lensa sudut ultra lebar dengan keupayaan tiga kali optikal zum.

  Penulis melakukan pengujian terhadap kamera peranti ini khususnya ketika pencahayaan kurang dan melihat sejauh mana kualiti gambar yang terhasil.

  Ujian dilaksanakan ketika waktu malam untuk merakam gambar dan hasilnya begitu mengagumkan apabila imej yang diambil jelas serta kurang 'noise'.

  Gambar berkenaan juga persis dirakam daripada peranti kelas perdana walaupun ketika imej dirakam, suasana dalam keadaan gelap.

  Pelancaran untuk genre permainan juga sangat baik bagi peranti ini apabila tetapan boleh diubahsuai kepada 'tinggi' dan 'ultra tinggi' tanpa mengalami masalah seperti kelengahan peranti atau sebagainya.

  Menyentuh aspek spesifikasinya, peranti ini dikuasakan dengan cip pemproses daripada variasi Exynos 2200 serta Qualcomm Snapdragon 8 Gen 1 yang melaksanakan operasi Android 13.

  Saiz ukuran skrin untuk peranti ini pula adalah 6.4 inci iaitu lebih besar jika dibandingkan dengan Galaxy S23 dan sedikit kecil jika diletakkan bersebelahan dengan Galaxy S23+.

  Skrin paparan pula menggunakan Dynamic AMOLED 2X bersama-sama sokongan 120Hz dengan kadar kecerahan maksimum 1450 nits.

  Peranti ini menggunakan tetapan tiga lensa iaitu 50 megapiksel (MP) sudut lebar, 8MP telefoto dan 12MP sudut ultra lebar.

  Samsung menerusi generasi peranti Galaxy sememangnya menawarkan keupayaan rakaman gambar terbaik dalam kelasnya dan keupayaan itu turut terhasil menerusi S23 FE ini.

#kw Samsung, S23 FE

 

Tamat

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Oktober 2023 @ 5:49 PM