SAMSUNG Galaxy S24 Ultra menampilkan naik taraf lensa baharu untuk kualiti imej lebih baik.
SAMSUNG Galaxy S24 Ultra menampilkan naik taraf lensa baharu untuk kualiti imej lebih baik.
Muhammad Saufi Hassan


BEBERAPA hari lalu, pengeluar perkakas pintar terkemuka, Samsung menepati ramalan apabila melancarkan peranti kelas perdana yang baharu daripada generasi Galaxy S24.

Menerusi pengenalan itu, Samsung membariskan tiga variasi Galaxy S24 iaitu S24, S24+ dan yang menjadi tumpuan penggemar teknologi adalah Galaxy S24 Ultra.

Seperti yang dilaungkan Samsung sebelum ini iaitu slogan 'Galaxy AI' menampilkan integrasi penuh Kecerdasan Buatan (AI) dalam peranti berkenaan.

Samsung Galaxy S24 adalah peranti pertama yang menerima integrasi penuh AI bermula dengan kaedah suntingan gambar, carian imej, terjemahan terus sehingga kepada terjemahan ketika panggilan.

Menerusi pandang pertama Samsung Galaxy S24 Ultra ini, #ITMetro kagum dengan langkah berani Samsung memperkenalkan interaksi baharu pengguna serta AI di samping binaan kerangka peranti yang diperbuat daripada titanium.

Pengukuhan kerangka itu memberikan satu lonjakan besar kepada peranti ini selain daripada kefungsian Galaxy AI yang menjadi dasar kehidupan pengguna.

Penulis juga kagum dengan penambahbaikan daripada aspek operasi kamera yang terus dipertingkatkan berbanding siri Galaxy S24 Ultra.

Pastinya tumpuan umum kepada variasi kelas tinggi iaitu Galaxy S24 Ultra yang menggunakan cip pemproses generasi baharu termasuk penawaran prestasi paling mengagumkan.

Menyentuh soal spesifikasi untuk Galaxy S24 Ultra, skrin peranti ini didatangkan dengan saiz skrin 6.8 inci dengan skrin paparan Dynamic LTPO AMOLED 2X bersama kadar segar semula 120Hz serta kecerahan 2600 nits.

Peranti Galaxy S24 Ultra ini masih mengekalkan tetapan empat lensa dengan keupayaan sensor 200 megapiksel (MP) sebagai lensa utama untuk merakam gambar jelas serta terperinci.

Lensa kedua berkeupayaan untuk 50MP dengan periskop telefoto bersama-sama dengan 10MP telefoto dan 12MP sudut ultra lebar.

Peranti variasi tinggi ini turut berkeupayaan merakam video 8K dengan kadar bingkai sesaat (FPS) 24 atau 30 manakala untuk rakaman 4K adalah 30 hingga 120FPS.

Kapasiti bateri pula 5,000mAh dengan pengecas pantas 45W, 15W pengecas tanpa wayar dan 4.5W pengecas tanpa wayar berbalik.

Peranti ini masuk mengekalkan rekaan kamera di bahagian belakang, namun wujud perubahan yang besar antara generasi sebelumnya.

Samsung bijak menggunakan adaptasi pengguna terhadap media sosial serta keupayaan kamera.

Prestasi kamera yang mengagumkan itu membolehkan seorang pengguna amatur menghasilkan rakaman imej lebih baik khususnya pada waktu malam.

Untuk pandang pertama ini, Samsung masih mengekalkan hampir semua rekaan yang ada dan memberi penambahbaikan khususnya kepada 'vapor chamber' untuk sistem penyejukan peranti.

Ia satu langkah yang baik supaya menjamin prestasi peranti ini pada tahap terbaik tidak mengira tahap kepenggunaan dan sebagainya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Februari 2024 @ 6:30 AM