PERANTI ini menggunakan visionOS, sistem pengendalian spatial pertama di dunia.
PERANTI ini menggunakan visionOS, sistem pengendalian spatial pertama di dunia.
Muhammad Saufi Hassan


CETUSAN idea 'spatial' komputer atau ruang produktiviti maya pada suatu ketika dulu adalah hanya bersifat kepada teori yang imiginatif.

Pada ketika itu, kekangan teknologi semasa menyekat idea berkenaan untuk menjadi realiti, namun pada hari ini, ia bukan lagi satu idea atau teori sebaliknya sudah dibuktikan dengan perkakas khusus yang dilancarkan.

Untuk memahami dengan lebih mudah, pengguna boleh mengakses ruang kerja, hiburan dan sebagainya secara realiti maya (VR) atau augmentasi realiti (AR).

Sempena Persidangan Pembangun Sedunia (WWDC) 2023 awal bulan ini, syarikat teknologi terkemuka, Apple melakukan kejutan dengan memperkenalkan peranti baharu iaitu Apple Vision Pro persis set kepala realiti.

Penghasilan penciptaan itu adalah manifestasi kepada revolusi komputer spatial yang menggabungkan kandungan digital dengan dunia fizikal dengan lancar sambil membenarkan pengguna kekal hadir dan berhubung dengan orang lain.

Vision Pro mencipta ruang tidak terhingga untuk aplikasi yang melangkaui sempadan paparan tradisional dan memperkenalkan antara muka pengguna tiga dimensi sepenuhnya yang dikawal oleh input paling semula jadi dan intuitif iaitu mata, tangan dan suara pengguna.

Peranti ini menggunakan visionOS, sistem pengendalian spatial pertama di dunia, Vision Pro membolehkan pengguna berinteraksi dengan kandungan digital dalam cara yang dirasakan seperti wujud secara fizikal.

Inovasi baharu Apple ini turut menggunakan 23 juta piksel resolusi ultra tinggi dengan padanan dwi cip untuk memastikan pengalaman kepenggunaan sentiasa lancar.

Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook berkata, ini menandakan permulaan era baharu untuk pengkomputeran.

"Sama seperti Mac memperkenalkan kami kepada pengkomputeran peribadi, iPhone memperkenalkan kami kepada pengkomputeran mudah alih, Apple Vision Pro memperkenalkan kami kepada pengkomputeran spatial.

"Peranti ini dibina berdasarkan inovasi Apple selama berdekad-dekad, Vision Pro inovasi masa depan dan tidak sama seperti peranti yang dicipta sebelum ini.

"Ia membuka pengalaman yang luar biasa untuk pengguna kami dan peluang baharu yang menarik untuk pembangun kami," katanya.

Pada masa sama, Naib Presiden Pembangunan Teknologi Apple, Mike Rockwell berkata, mencipta komputer spatial pertama ini memerlukan ciptaan merentasi hampir setiap aspek sistem.

"Melalui integrasi perkakasan dan perisian yang ketat, kami mereka bentuk komputer spatial kendiri dalam rupa yang kompak dan ia adalah peranti elektronik peribadi tercanggih," katanya.

Apple Vision Pro membawa dimensi baharu kepada pengkomputeran peribadi yang berkuasa dengan mengubah cara pengguna berinteraksi dengan aplikasi kegemaran mereka, merakam dan menghidupkan semula kenangan, menikmati rancangan televisyen serta filem yang menakjubkan serta berhubung dengan orang lain dalam FaceTime.

Menerusi penghasilan peranti ini juga, sistem operasi yang digunakan adalah visionOS menampilkan antara muka tiga dimensi yang membebaskan aplikasi daripada sempadan paparan supaya ia boleh muncul bersebelahan pada sebarang skala.

Apple Vision Pro membolehkan pengguna menjadi lebih produktif dengan skrin tanpa had, akses kepada aplikasi kegemaran mereka dan cara serba baharu untuk kepelbagaian tugas.

Ia sekali gus merubah bentuk perkomputeran konvensional pada hari ini seterusnya mendorong kepada keupayaan maya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Jun 2023 @ 7:00 AM