Muhammad Saufi Hassan


Ketika pengenalan beberapa peranti sempena WWDC 2023, Apple membuat kejutan apabila memperkenalkan peranti baharu iaitu Apple Vision Pro persis set kepala Realiti Maya (VR).

  Menerusi Apple Vision Pro ia adalah komputer revolusi spatial yang menggabungkan kandungan digital dengan dunia fizikal dengan lancar, sambil membenarkan pengguna kekal hadir dan berhubung dengan orang lain. 

  Vision Pro mencipta ruang tidak terhingga untuk aplikasi yang melangkaui sempadan paparan tradisional dan memperkenalkan antara muka pengguna tiga dimensi sepenuhnya yang dikawal oleh input paling semula jadi dan intuitif iaitu mata, tangan dan suara pengguna. 

  Peranti ini menggunakan visionOS, sistem pengendalian spatial pertama di dunia, Vision Pro membolehkan pengguna berinteraksi dengan kandungan digital dalam cara yang dirasakan seperti wujud secara fizikal.

  Inovasi baharu Apple ini turut menggunakan 23 juta piksel resolusi ultra tinggi dengan padanan dwi cip untuk memastikan pengalaman kepenggunaan sentiasa lancar.

  Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Tim Cook berkata, ini menandakan permulaan era baharu untuk pengkomputeran.

  "Sama seperti Mac memperkenalkan kami kepada pengkomputeran peribadi, dan iPhone memperkenalkan kami kepada pengkomputeran mudah alih, Apple Vision Pro memperkenalkan kami kepada pengkomputeran spatial. 

  Peranti ini dibina berdasarkan inovasi Apple selama berdekad-dekad, Vision Pro inovasi masa depan dan tidak sama seperti peranti yang dicipta sebelum ini.

  "Ia membuka pengalaman yang luar biasa untuk pengguna kami dan peluang baharu yang menarik untuk pembangun kami," katanya.

  Pada masa sama, Naib Presiden Pembangunan Teknologi Apple, Mike Rockwell berkata, mencipta komputer spatial pertama ini memerlukan ciptaan merentasi hampir setiap aspek sistem.

  "Melalui integrasi perkakasan dan perisian yang ketat, kami mereka bentuk komputer spatial kendiri dalam rupa yang kompak dan ia adalah peranti elektronik peribadi tercanggih," katanya.

Tamat

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2023 @ 2:54 PM