Peranti pertama tawar pengecas 240W.
Peranti pertama tawar pengecas 240W.
Oleh Muhammad Saufi Hassan

 

 

Pengeluar peranti pintar, Realme memperkenalkan generasi baharu telefon pintar keluarannya iaitu Realme GT3 di Persidangan Mudahalih Sedunia (MWC) 2023 di Barcelona, Sepanyol.

  Menerusi pengenalan peranti baharu ini, Realme GT3 dikuasakan dengan cip pemproses Qualcomm Snapdragon 8 Gen 1 bersama binaan 4nm serta dipadankan dengan memori (RAM) variasi 8GB, 12GB dan 16GB binaan LPDDR5X.

  Menyentuh aspek spesifikasi, Realme GT3 menggunakan saiz berukuran 6.74 inci dengan paparan OLED resolusi 2772 x 1240.

  Skrin ini turut dilengkapi dengan kadar segar semula 144Hz sekali gus sesuai untuk semua kandungan khusus permainan dan memberikan pengalaman kepenggunaan yang lebih baik.

  Realme GT3 ini menggunakan tetapan tiga lensa iaitu lensa utama berkeupayaan 50 megapiksel (MP) sudut lebar, lensa sudut ultra lebar 8MP dan lensa mikroskop untuk kepenggunaan 'Street Photography' 2MP.

  Untuk sistem keselamatan, Realme GT3 ini dilengkapi dengan imbasan cap jari biometril di bawah skrin dan turut dilengkapi dengan pengecasan pantas 240W.

  Ia sekali gus menjadi peranti pertama yang menawarkan pengecasan pantas pertama dengan 240W.

  Teknologi baharu yang diperkenalkan Realme berkenaan mampu untuk memastikan pengguna tidak lagi perlu bimbang dengan kehabisan bateri peranti.

  Peranti ini hanya memerlukan 80 saat untuk kapasiti bateri 20 peratus dan hanya mengambil masa sembilan minit 30 saat untuk pengecasan penuh.

  Presiden Pemasaran Global Realme, Chase Xu berkata, pengenalan peranti baharu ini adalah inovasi berterusan yang ditawarkan oleh Realme kepada pengguna dengan semangat 'Dare to Leap'.

  "Realme sememangnya terkenal dengan falsafah berani untuk mencuba sesuatu yang baharu dan ini adalah peranti manifestasi falsafah berkenaan.

  "Memasuki tahun kelima, Realme mengambil langkah yang lebih besar dan menjadi pengeluar peranti pertama yang memperkenalkan teknologi baharu kepada pengguna.

  "Ini juga menunjukkan komitmen Realme yang tinggi dengan penawaran peranti yang inovatif khusus untuk pengguna muda," katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2023 @ 10:35 PM