PERANTI skrin boleh lipat ini menjadi inovasi generasi keempat oleh Samsung dengan kepelbagaian ciri khusus.
PERANTI skrin boleh lipat ini menjadi inovasi generasi keempat oleh Samsung dengan kepelbagaian ciri khusus.
Muhammad Saufi Hassan


PERANTI baharu keluaran Samsung iaitu Galaxy Z Flip4 berada pada kelas tersendiri khususnya perubahan serta kemajuan dalam skrin peranti boleh lipat.

Selepas hampir 14 hari penulis menggunakan peranti Galaxy Z Flip4 ini, ia adalah peranti segenap

segi atau 'all rounder' yang sangat baik khususnya untuk memenuhi keperluan kegunaan harian seperti kamera, ketahanan bateri termasuk kepelbagaian fungsi skrin.

Boleh dirumuskan bahawa Galaxy Z Flip4 ini adalah inovasi terbaik untuk peranti sistem operasi Android, sekali gus mengubah persepsi berhubung ketahanan skrin lipat ini.

Jika sebelum ini, wujud persepsi berhubung ketahanan skrin lipat, namun beberapa ujian ketahanan yang dilaksanakan membuktikan bahawa generasi Galaxy Z Flip4 ini berada pada kelasnya tersendiri.

Peningkatan ketahanan untuk 'Ultra Thin Glass' yang digunakan Samsung bagi peranti ini juga tampak membuahkan hasil apabila ujian yang dilaksanakan mampu bertahan melebihi 200,000 kali dibuka serta ditutup tanpa menjejaskan permukaan skrin di kawasan lipatan.

Rekaan engsel dan bezel juga mengalami perubahan untuk siri Flip4 ini apabila Samsung mengecilkan saiz engsel berkenaan termasuk operasi buka tutup yang lebih padat.

GALAXY Z Flip4 mampu bertahan lebih 200,000 kali buka tutup tanpa sebarang masalah.
GALAXY Z Flip4 mampu bertahan lebih 200,000 kali buka tutup tanpa sebarang masalah.

Butang kuasa atau 'power button' serta pelarasan audio diletakkan di bahagian tepi bersama pengimbas jari fizikal, sekali gus memberikan rekaan yang kecil ketika peranti Flip4 ini dilipat.

Sesuai dengan pengguna pada hari ini yang mementingkan keupayaan audio, Galaxy Z Flip4 dilengkapi sistem Dolby Atmo, sekali gus penghasilan setiap bunyi untuk kandungan video adalah jelas tanpa mengabaikan kepadatan bunyi bass.

Ciri khusus yang paling menarik perhatian dalam kepelbagaian tetingkap atau 'Multi Window' iaitu peranti diletakkan dalam posisi 90 darjah dan pengguna boleh melayari tetingkap lain di bahagian bawah sambil panggilan video di bahagian atas.

SAMSUNG menawarkan peranti baharu Galaxy Z Flip4 dengan keupayaan terkini termasuk pembaharuan engsel serta bezel.
SAMSUNG menawarkan peranti baharu Galaxy Z Flip4 dengan keupayaan terkini termasuk pembaharuan engsel serta bezel.

Inovasi berkenaan sangat membantu khususnya dalam arus teknologi pada masa kini apabila setiap urusan produktiviti boleh dilaksanakan tanpa masalah.

Keupayaan cip pemproses daripada Qualcomm Snapdragon 8+ Gen 1 juga jelas memberi keupayaan maksimum kepada peranti termasuk padanan memori (RAM) 8GB untuk melancarkan setiap aplikasi tanpa masalah.

Kapasiti bateri 3,700mAh juga adalah sesuai dan ia adalah naik taraf berbanding generasi terdahulu yang menggunakan 3,300mAh saja.

Sokongan pengecas pantas 25W juga memberi banyak kemudahan kepada pengguna tanpa perlu menunggu tempoh lebih lama.

Secara keseluruhannya, Galaxy Z Flip4 ini berada pada kelasnya tersendiri dengan kepelbagaian kefungsian khusus untuk pengguna pada masa kini.

Peranti itu juga sekali gus memecahkan tradisi inovasi apabila pengukuhan skrin boleh lipat dipertingkatkan supaya lebih tahan lasak.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 September 2022 @ 6:30 AM