Galaxy Z Fold3 dan Galaxy Flip3 masing-masing menawarkan keseronokan menggunakan telefon pintar yang berbeza. - FOTO Samsung
Galaxy Z Fold3 dan Galaxy Flip3 masing-masing menawarkan keseronokan menggunakan telefon pintar yang berbeza. - FOTO Samsung
Muhamad Shaifullah Tayep

Samsung Electronics Co. Ltd. hari ini memperkenalkan dua telefon pintar baharunya, Galaxy Z Fold3 5G dan Galaxy Z Flip3 5G.

Dari reka bentuk ikonik hingga ke hiburan yang mengasyikkan, Z Flip3 dan Z Fold3 menawarkan pengguna cara baharu yang unik untuk bekerja, menonton dan bermain.

Bagi mereka yang memerlukan peranti utama untuk produktiviti dan hiburan mempesonakan, Z Fold3 adalah pusat kuasa multi-tugas sebenar dengan prestasi lebih baik, paparan Infinity Flex 7.6 inci tanpa gangguan dan mempunyai sokongan S Pen yang pertama kali buat peranti boleh lipat.

Bagi mereka yang menginginkan peranti penuh gaya berserta pelbagai fungsi, Z Flip3 adalah peranti ideal dengan reka bentuknya anggun, kompak, dan bersaiz poket, dilengkapi dengan ciri kamera ditambah baik, serta skrin lebih besar dibina untuk penggunaan pantas walau di mana sahaja berada.

Presiden dan Ketua Perniagaan Komunikasi Mudah Alih Samsung Electronics Dr TM Roh, berkata Samsung sekali lagi menetapkan semula jangkaan dengan telefon pintar boleh lipat yang memperkasa pengguna dengan fleksibiliti dan versatiliti diperlukan dalam dunia bergerak pantas melalui rekaan Z Flip3 dan Z Fold3.

"Sebagai perintis dan peneraju industri dalam kategori boleh lipat, kami bangga untuk membina inovasi dalam legasi kami dengan mencipta Z Fold3 dan Z Flip3.

"Peranti ini melengkapkan pengguna dengan teknologi yang membuka cara baharu bagi memaksimumkan dan menikmati setiap momen dengan ekosistem yang dibina berdasarkan keterbukaan dan inovasi," katanya.

Tahan lama

Buat pertama kalinya, Z Fold3 dan Z Flip3 dilengkapi dengan IPX8 menjadikannya rintang air, jadi pengguna tidak perlu lagi bimbang jika terperangkap dalam hujan.

Kedua-dua peranti ini juga dibina dengan Armor Aluminium aluminium terkuat yang pernah digunakan pada telefon pintar Galaxy berserta Corning®️ Gorilla®️ Glass Victus™️ yang paling kuat untuk melindunginya daripada calar dan jika ia terjatuh tanpa sengaja.

Selain itu, kedua-dua peranti mempunyai filem pelindung baharu diperbuat daripada PET yang boleh meregang dan lapisan panel paparan yang dioptimumkan menjadikan skrin utama 80 peratus lebih tahan lama berbanding peranti sebelumnya.

Z Fold3 dan Z Flip3 juga menjalani ujian lipatan yang disahkan oleh Bureau Veritas untuk menahan lipatan sebanyak 200,000 kali.

Selain itu, ia juga dilengkapi dengan 5nm AP yang terbaharu dan keserasian jalur 5G untuk pengalaman terbaik di dalam dan luar.

Tingkat produktiviti

Bagi mereka mementingkan produktiviti, manfaatkan ciri mod Flex dipertingkatkan pada Z Fold3 yang membolehkan anda melakukan lebih banyak perkara dalam satu masa sekaligus.

Contohnya, melakukan panggilan video pada bahagian atas skrin peranti sambil memeriksa nota mesyuarat di bahagian bawah.

Dengan Multi-Active Window yang diperbaharui pada Z Fold3, ia lebih mudah untuk melakukan rancangan makan malam melalui teks sambil memeriksa jadual kalendar, semuanya dilakukan pada skrin besar peranti.

Kini, pengguna boleh mengambil jalan pintas dan membuka semula aplikasi dengan cara yang sama hasil penambahbaikan App Pair dengan Z Fold3.

Selain itu, pengguna juga dapat menggunakan Taskbar baharu Z Fold3 untuk menukar aplikasi dengan cepat tanpa perlu kembali ke layar utama.

Keseronokan tanpa henti

Z Flip3 sangat sesuai untuk bersantai dan menonton vlog YouTube atau rancangan TV secara bebas tangan dengan adanya pembesar suara Stereo Z Flip3 yang baharu dan dipertingkatkan dengan Dolby Atmos®️.

Pengguna bakal mendengar bunyi yang mengasyikkan dengan kejelasan, kedalaman dan kesan spatial yang luar biasa, tidak kira apa yang ditonton atau dengarkan.

Skrin Penutup yang direka semula kini bersaiz empat kali lebih besar dan menjadikannya lebih mudah untuk memaparkan notifikasi dan mesej tanpa perlu membuka Z Flip3.

Pengguna boleh sentiasa menyemak jadual, memeriksa cuaca, dan memantau jumlah langkah harian mereka dengan widget Skrin Penutup yang baharu atau menyelaraskan gambar hiasan Skrin Penutup dengan Galaxy Watch4 Classic baharu mereka untuk gaya yang sepadan.

Warna bergaya, klasik

Z Fold3 dibina dengan reka bentuk yang berkilat, nipis dan lebih ringan untuk lebih mudah dibawa daripada Galaxy Z Fold2.

Ia hadir dengan tiga pilihan warna klasik iaitu Phantom Black, Phantom Green dan Phantom Silver.

Manakala, Z Flip3 hadir dalam pilihan empat warna yang bergaya iaitu Cream, Green, Lavender dan Phantom Black.

Bagi mereka yang mencari lebih banyak pilihan untuk menyesuaikan dengan gaya tersendiri, Samsung.com membawakan warna eksklusif, seperti Gray, Pink, dan White.

Jam tangan pintar baharu

Image

Samsung Electronics Co., Ltd. turut mengumumkan Galaxy Watch4 dan Galaxy Watch4 Classic yang menampilkan Wear OS™️ dikuasakan oleh Samsung yang terbaharu, dibina bersama dengan Google™️ dan dilengkapi dengan One UI Watch, antara muka pengguna Samsung yang paling intuitif.

Jam tangan pintar ini dilengkapi dengan pelbagai ciri kesihatan untuk mengesan aktiviti harian anda supaya anda kekal terus bermotivasi untuk menjadi yang terbaik.

Galaxy Watch4 dilengkapi dengan Sensor BioActive 3-dalam-1 Samsung yang inovatif, menawarkan reka bentuk lebih kecil dan kompak yang tidak mengurangkan ketepatan ukuran.

Alat pengukur Komposisi Badan serba baharu memberi pengguna pemahaman yang lebih mendalam mengenai kesihatan dan kecergasan umum dengan ukuran utama seperti jisim otot rangka, kadar metabolisme asas, peratusan air dan lemak badan.

Kini, anda boleh memeriksa komposisi badan anda dengan mudah melalui pergelangan tangan dengan hanya dua jari. Dalam masa kira-kira 15 saat, sensor jam tangan anda akan menangkap 2,400 titik data.

Layari laman web Samsung untuk maklumat lanjut mengenai Galaxy Z Fold3, Galaxy Z Flip3, Galaxy Watch4 dan ​​Galaxy Watch4 Classic.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Ogos 2021 @ 6:18 PM