DESKTOP MAG Infinite S3 menawarkan kuasa prestasi sesuai dengan spesifikasi terkini.
DESKTOP MAG Infinite S3 menawarkan kuasa prestasi sesuai dengan spesifikasi terkini.
Muhammad Saufi Hassan

 

Tidak dapat dinafikan era permainan desktop semakin berkembang dengan penawaran keupayaan grafik bersama-sama dengan kepelbagaian ekosistem dalam kandungan permainan.

Mungkin bagi sesetengah individu melihat bahawa desktop permainan itu hanya untuk bermain 'games', namun stigma seperti itu perlu diubah kerana desktop kelas permainan bukan saja digunakan untuk bermain pelbagai judul permainan, sebaliknya melaksanakan tugas kompleks.

Untuk itu, penulis ingin mencadangkan kepada pengguna mengenai desktop kelas permainan baharu keluaran MSI iaitu MAG Infinite S3 yang dikuasakan dengan pemproses Intel Core i7 Generasi Ke-12 iaitu i7-12700, sekali gus mampu untuk melaksanakan pelbagai perisian, permainan dan tugasan kompleks tanpa masalah.

Menyentuh aspek spesifikasinya, ia didatangan dengan konfigurasi memori (RAM) daripada 3200Mhz DDR serta 2933Mhz yang mampu menyokong sehingga 64GB.

Sesuai dengan kelas prestasi, kad grafik desktop ini didatangkan dengan Nvidia GeForce RTX 3070 manakala ia dilengkapi dengan satu slot M.2 2280 SSD bersama-sama dua port 2.5 inci pemacu dan satu port 3.5 inci pemacu.

Untuk ciri keselamatan, MSI MAG Infinite S3 ini dilengkapi dengan sistem penjejak terbina dan pengguna boleh menjejakinya menggunakan 'Find With Tile' dengan mudah, sekali gus mengelakkan kes kecurian.

Ujian prestasi terhadap beberapa judul permainan menunjukkan bahawa desktop jenis ini mampu melancarkan sebarang permainan dengan minimum bacaan bingkai sesaat (FPS) sekitar 55 hingga 120 mengikut padanan kad grafik.

Bagi desktop yang dikuasakan dengan padanan grafik RTX3060Ti, untuk judul permainan Far Cry 5 resolusi 2160p adalah 59FPS, Watch Dogs Legion (38FPS), Forza Horizon 5 (70FPS) dan Hitman 2 (60FPS).

DESKTOP kelas permainan ini turut sesuai digunakan untuk tugasan profesional tanpa sebarang masalah.
DESKTOP kelas permainan ini turut sesuai digunakan untuk tugasan profesional tanpa sebarang masalah.

Untuk resolusi 1440p pula, Far Cry 5 (72FPS), Watch Dogs Legion (60FPS), Forza Horizon 5 (105FPS) dan Hitman 2 (78FPS).

Kerangka MAG Infinite S3 ini juga didatangkan dengan keupayaan pengudaraan terbaik untuk menjanjikan suhu pada tahap paling minimum.

Sesuai dengan trend desktop semasa, MSI MAG Infinite S3 ini turut didatangkan dengan panel kaca di bahagian tepi untuk melihat perkakas dalam desktop.

Secara keseluruhannya, desktop ini sangat sesuai sama ada untuk tugasan profesional seperti suntingan atau sintesis video serta animasi sehingga kepada prestasi permainan.

Bacaan FPS untuk judul permainan AAA juga sangat mengagumkan manakala suhu berapa pada tahap paling minimum walaupun ketika kefungsian penuh.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Ogos 2022 @ 6:20 AM