MSI memperkenalkan desktop Meta S dengam penawaran spesifikasi pada kelas permulaan.
MSI memperkenalkan desktop Meta S dengam penawaran spesifikasi pada kelas permulaan.
Muhammad Saufi Hassan


PENGGUNA hari ini lebih cenderung untuk memiliki sebuah set desktop memandangkan ia lebih mudah untuk melakukan naik taraf serta keupayaan yang maksimum.

Namun, wujud satu halangan dalam kalangan pengguna untuk mendapatkan satu set desktop berkuasa iaitu bajet atau kekangan kewangan memandangkan desktop berkuasa tinggi didatangkan dengan 'harga keras'.

Untuk memenuhi segmen pengguna berkenaan, MSI sebagai jenama kelas permainan terkemuka bijak memperkenalkan barisan desktop mampu milik khusus untuk pengguna dalam segmen berkenaan.

Bagi memenuhi keperluan pengguna, MSI memperkenalkan desktop generasi baharu daripada kelas permulaan iaitu MSI MAG META S 3rd yang menggunakan kuasa pemproses daripada cip Advanced Micro Devices (AMD).

Menerusi siri desktop ini, ia boleh menyokong sehingga AMD Ryzen 7 5700X dan konfigurasi kad grafik boleh dibuat sehingga kepada Nvidia GeForce GTX 1660 Super sesuai dengan kelas permulaan-pertengahan.

Menyentuh aspek spesifikasinya, desktop ini didatangkan dengan dua konfigurasi iaitu untuk Ryzen 7 3700X serta Ryzen 5 3600 bersama papan induk AMD A520 serta dua memori (RAM) DDR4 U-DIMMs.

Sistem storan pula adalah satu M.2 2280 SSD dengan sambungan SATA atau PCIe bersama-sama dengan satu slot 2.5 inci pemacu keras dan 3.5 inci pemacu konvensional.

Trend terkini sememangnya mementingkan aspek kosmetik dan META S ini didatangkan dengan penyelarasan lampu RGB di bahagian depan termasuk penawaran kestabilan FPS di dalam permainan.

Biarpun kad grafik daripada siri desktop ini menggunakan MSI Aero ITX, namun ia cukup berkuasa untuk melancarkan sebarang aplikasi termasuk permainan terkini.

Pengguna juga diberikan kebebasan untuk melakukan naik taraf daripada komponen MSI mengikut citarasa, bajet dan keperluan penggunaan desktop yang diinginkan tanpa sebarang masalah.

Menerusi desktop berkenaan, biarpun ia didatangkan dengan tanda harga yang lebih 'mesra poket' namun mampu untuk melaksanakan setiap tugasan tanpa sebarang masalah termasuk tugasan kompleks seperti penyuntingan video.

Kerangka desktop yang kecil mampu untuk memuatkan sebarang ruang tanpa masalah dan ia juga sangat sesuai untuk pengguna yang mementingkan rekaan minimalist dalam bilik mereka.

Sebagai jenama kelas permainan yang terkemuka, perkakas yang didatangkan untuk set desktop ini adalah yang terbaik dan mempunyai jaminan kepada pengguna jika berlaku kerosakan dan sebagainya.

Secara keseluruhannya, penulis memberikan pujian kepada set desktop berkenaan memandangkan ia mampu untuk melancarkan sebarang perisian termasuk permainan terkini.

Pengguna juga tidak memerlukan bajet yang besar untuk pembelian desktop berkenaan dan ia adalah pilihan yang ideal untuk semua golongan pengguna.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Mac 2022 @ 6:45 AM