Oleh Muhammad Saufi Hassan

 

 

Honor Malaysia memperkenalkan beberapa perkakas baharu keluarannya dan kali ini syarikat berkenaan mempertaruhkan peranti baharu iaitu Magic4 Pro.

  Pada majlis pelancaran Magic4 Pro itu, Honor turut mengumumkan produk baharu mereka iaitu Honor Watch GS 3 dan Honor Earbuds 3 Pro.

  Menerusi peranti baharu berkenaan, Honor Magic4 Pro dikuasakan dengan cip pemproses termaju iaitu Qualcomm Snapdragon 8 Gen 1 bersama padanan memori (RAM) binaan LPDDR5 bersama storan 256GB.

  Peranti ini berukuran 6.81 inci bersama dengan skrin paparan LTPO OLED malah ia turut didatangkan dengan sokongan kadar segar semula 120Hz.

  Honor bijak melakukan padanan untuk skrin paparan bagi keselesaan pengguna apabila menggunakan 1,920Hz PWM 'Dimming' khusus untuk penggunaan jangka panjang tanpa merosakkan mata.

  Paling utama, Honor kali ini menggunakan tetapan tiga lensa berkeupayaan tinggi iaitu lensa utama dengan 50 Megapiksel (MP) sudut lebar, 50MP sensor sudut ultra lebar dan 64MP sensor Telefoto Periskop.

  Sesuai dengan kepenggunaan semasa iaitu berkait rapat dengan permainan mudah alih, Honor Magic4 Pro ini dilengkapi dengan Unit Pemproses Grafik (GPU) Adreno 730 dengan GPU Turbo X Engine.

  Peranti ini turut dilengkapi dengan sistem keselamatan Dual-TEE serta Qualcomm 3D Sonic Sensor Gen 2.

  Bagi pengguna yang mengutamakan privasi, Honor Magic4 Pro ini adalah pilihan terbaik apabila menggunakan sistem kunci 3D biometrik wajah dan Panggilan Privasi Kecerdasan Buatan (AI).

  Tanda harga untuk Magic4 Pro adalah RM3,999, Watch GS 3 bermula RM899 untuk pilihan warna Midnight Black dan Earbuds 3 Pro RM699.

  Pengguna yang melakukan pra tempahan bermula hari ini berpeluang untuk menikmati penjimatan maksimum termasuk penawaran pelbagai aksesori serta gajet bernilai RM1,656.

 

 

#kw Honor, Magic4 Pro

 

 

Tamat

  

  

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Jun 2022 @ 8:34 PM