TEMPOH masa lama di ruang siber oleh kebanyakan pengguna pada hari ini mendedahkan mereka kepada kemungkinan ancaman serangan siber.
TEMPOH masa lama di ruang siber oleh kebanyakan pengguna pada hari ini mendedahkan mereka kepada kemungkinan ancaman serangan siber.
Muhammad Saufi Hassan


DUNIA teknologi hari ini banyak memberi kemudahan kepada pengguna, hanya klik setiap barangan yang dikehendaki, setiap pembelian berkenaan akan sampai di rumah masing-masing tanpa perlu bersusah payah keluar dan bersesak terutama ketika tempoh wabak Covid-19 ini.

Pengguna juga lebih banyak meluangkan waktu di ruang siber ketika ini untuk bermacam tugasan termasuk rutin harian di pejabat juga dibuat secara maya.

Tempoh waktu yang lebih panjang di ruang siber juga sebenarnya meningkatkan risiko serangan siber kepada pengguna, malah masih ada pengguna siber di luar sana masih terjebak dengan perangkap siber biarpun bermacam pendedahan sudah dilaksanakan pihak berkuasa.

Serangan siber ini juga tidak tertumpu kepada satu bentuk saja, malah membabitkan pelbagai ancaman termasuk serangan terhadap perkakas Internet Kebendaan atau 'IoT' yang digunakan oleh pengguna.

Agensi Keselamatan Siber dan Infrastruktur (Cisa) Amerika Syarikat (AS) sudahpun mengeluarkan amaran berhubung peningkatan mendadak serangan terhadap sistem IoT dan perkakas perisian Sistem Operasi Teknologi (OT).

Pada tahun lalu, sebanyak 41 peratus serangan ransomware disasarkan kepada OT yang masih dilihat kurang sistem keselamatan siber serta menjadi sasaran mudah buat penyerang.

Data berkenaan sekali gus mencetuskan satu persoalan lebih besar iaitu apa yang menjadikan OT serta IoT mangsa mudah di ruang siber yang menjanjikan pulangan lebih lumayan buat penyerang.

Secara ringkasnya, Cisa menjelaskan bahawa OT kekurangan

'pertahanan siber' berbanding segmen lain, sekali gus ia memudahkan menyerang untuk menceroboh masuk dan memanipulasi keadaan berkenaan.

WUJUD pertambahan drastik dalam serangan sistem IoT beberapa tahun kebelakangan ini.
WUJUD pertambahan drastik dalam serangan sistem IoT beberapa tahun kebelakangan ini.

Pengkaji keselamatan siber di seluruh dunia juga bersetuju bahawa perkakas berkenaan tidak menerima kemas kini terbaharu untuk menghadapi serangan siber yang sering berubah setiap hari.

Kerentanan perkakas berkenaan menjadi mangsa mudah buat penyerang dan suatu langkah drastik oleh penyedia perkakas perlu dilaksanakan termasuk kemas kini secara semasa.

Apabila serangan ransomware dilaksanakan oleh penyerang terhadap sesuatu organisasi, pastinya tiada jalan lain yang boleh dibuat dengan hanya membayar 'wang tebusan maya' berkenaan, sekali gus memberi persepsi positif kepada penyerang untuk melakukan kepada organisasi lain.

Masa depan keselamatan siber nampaknya banyak bergantung kepada keupayaan Kecerdasan Buatan (AI) di samping pengawasan oleh manusia.

Beberapa firma terkemuka dalam bidang keselamatan siber ini turut berpandangan bahawa teknologi AI yang lebih matang pada masa depan mampu menjadi 'ejen' keselamatan siber, sekali gus menjadi benteng pertahanan pertama menghadapi serangan.

MASA depan keselamatan siber menggunakan teknologi AI bersama pemantauan manusia.
MASA depan keselamatan siber menggunakan teknologi AI bersama pemantauan manusia.

Biarpun AI adalah satu bentuk teknologi pada masa depan, namun ia umpama 'pisau dua mata' dan mampu menjadi kerentanan yang utama dalam segmen keselamatan siber jika pengendali tidak bersedia secara keseluruhan berhubung penggunaan teknologi maju berkenaan.

Oleh itu, pengawalan kepakaran manusia masih diperlukan untuk mengelakkan AI berkenaan dimanipulasi pihak tertentu, sekali gus menjadi punca utama kepada serangan siber.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Oktober 2021 @ 7:00 AM