HONOR Band 6 menawarkan ciri lebih elegan dengan kefungsian mod bersukan yang lebih banyak.
HONOR Band 6 menawarkan ciri lebih elegan dengan kefungsian mod bersukan yang lebih banyak.
Muhammad Saufi Hassan


JIKA menyebut tentang peranti boleh pakai, ia umpama sudah satu kemestian pada ketika ini kerana ia bukan saja menunjukkan waktu semasa namun memberikan 1001 faedah kepada pemakainya.

Sudah menjadi 'trend' pada masa kini, pengguna lebih cenderung untuk memilih peranti boleh pakai yang dapat memantau segenap aspek dalam kehidupan bermula daripada tugasan rutin sehingga kepada 'jurulatih' maya.

Honor antara salah satu jenama paling prolifik yang aktif menghasilkan pelbagai peranti pintar termasuk perkakas boleh pakai dan terbaru, mereka mempertaruhkan Honor Band 6.

Menerusi rupa pandang pertama, Honor Band 6 menampilkan ciri lebih elegan sesuai dengan perkembangan semasa serta keperlukan pengguna pada hari ini.

Honor Band 6 ini sudah menggunakan skrin penuh dengan bingkai lebih nipis di sekitar skrin untuk meningkatkan pengalaman kepenggunaan yang lebih baik serta mengoptimumkan penglihatan skrin.

Paparan Honor Band 6 ini berukuran 1.47 inci AMOLED dengan rekaan melengkung di bahagian tepi untuk meningkatkan ciri elegan perkakas boleh pakai ini.

Menerusi peranti baharu ini, Honor menampilkan TruSeen 4.0 selain beberapa ciri semasa berbanding dengan generasi terdahulu peranti ini.

Pengguna boleh melakukan pemantauan terhadap tahap kesihatan diri antaranya kadar degupan jantung malah Honor turut menyertakan teknologi TruSleep 2.0 serta TruRelax khusus untuk pemantauan pengguna.

IA juga didatangkan dengan pelbagai pilihan warna sesuai dengan trend semasa.
IA juga didatangkan dengan pelbagai pilihan warna sesuai dengan trend semasa.

Untuk mod sukan pula, Honor Band 6 menawarkan 10 elemen riadah khusus untuk pengguna yang mahu kekal aktif setiap hari.

Peranti boleh pakai ini juga boleh menjadi jurulatih maya kepada pengguna apabila setiap aktiviti direkodkan termasuk penawaran 10 mod sukan.

Peranti ini juga dilengkapi dengan pengecasan pantas sekali gus pengguna tidak lagi perlu untuk menunggu tempoh yang lama untuk bateri dicas sepenuhnya.

Hanya dengan mengecas selama lima minit, pengguna boleh menggunakannya selama lebih 48 jam dan ia memberi kebebasan kepada penggunaan optimum.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Oktober 2021 @ 6:10 AM