GALAXY NOTE20
GALAXY NOTE20
Muhammad Saufi Hassan


SYARIKAT gergasi elektronik, Samsung melancarkan satu lagi telefon pintar kelas perdana iaitu siri Galaxy Note20 yang didatangkan dengan dua variasi dikenali sebagai Galaxy Note20 dan Note20 Ultra, sebentar tadi.

Menyentuh aspek spesifikasi, Galaxy Note20 dikuasakan dengan pemproses generasi baharu iaitu Exynos 990 yang dipadankan bersama memori (RAM) 8GB dan storan 128GB.

Peranti untuk variasi berkenaan turut didatangkan dengan bateri berkapasiti 4,300mAh serta keluasan saiz skrin 6.7 inci dengan paparan berteknologi Infinity-O.

Untuk variasi Galaxy Note20, ia dilengkapi dengan tetapan tiga lensa di bahagian belakang yang berkeupayaan 64 megapiksel (MP) untuk lensa utama dan sokongan kalis air diperakui IP68.

Bagi variasi kelas tinggi iaitu Galaxy Note20 Ultra, ia masih menggunakan pemproses sama iaitu Exynos 990 namun mempunyai padanan RAM lebih tinggi iaitu 12GB manakala pilihan storan sehingga 512GB.

Sesuai dengan keperluan peranti pintar semasa, Galaxy Note20 Ultra dilengkapi dengan bateri 4,500mAh dan tiga lensa utama yang direka secara menegak bersama sensor khusus.

Lensa utama berkeupayaan merakam 108MP dan peranti ini juga mendapat perakuan kalis air dan dikelaskan sebagai IP68.

Menerusi sesi pengenalan Samsung Unpacked 2020 turut memperlihatkan beberapa peranti baharu antaranya Galaxy Tab S7 serta Tab S7+ termasuk peranti kelas premium iaitu Galaxy Z Fold2 selepas kejayaan peranti skrin boleh lipat pertama iaitu Galaxy Fold.

Selain itu, Samsung memperkenalkan siri baharu Galaxy Buds Live dengan rekaan lebih ergonomik serta padanan saiz telinga yang tepat.

Siri peranti boleh pakai iaitu jam pintar juga diperkenalkan iaitu Galaxy Watch siri baharu dengan beberapa ciri dipertingkatkan termasuk keupayaan pemantauan kesihatan yang semakin popular dalam kalangan pengguna.

Semua peranti baharu berkenaan bakal memasuki pasaran tempatan bulan ini.

Spesifikasi Galaxy Note20 Ultra

• Pemproses: Exynos 990

• RAM: 12GB

• Storan: Sokongan sehingga 512GB

• Kamera utama: Sensor berkeupayaan 108MP dengan tetapan tiga lensa

• Bateri: 4,500mAh

• Skrin: 6.9 inci dengan paparan berteknologi AOLED

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Ogos 2020 @ 12:44 AM