REDMI Note 8 Pro tawar kualiti peranti yang lebih baik dan keupayaan kamera mengagumkan.
REDMI Note 8 Pro tawar kualiti peranti yang lebih baik dan keupayaan kamera mengagumkan.
Oleh Muhammad Saufi Hassan


XIAOMI menerusi jenama Redmi terus mempersonakan apabila menjadi pengeluar telefon pintar pertama yang menggunakan keupayaan kamera 64 megapiksel (MP) dan padanan spesifikasi termaju namun menawarkan tanda harga mampu milik.

Pelancaran dibuat hujung minggu lalu memperlihatkan dua peranti diperkenalkan iaitu Redmi Note 8 serta Redmi Note 8 Pro yang menawarkan perbezaan daripada aspek spesifikasi, fungsi kamera dan keupayaan peranti.

Kedua-dua peranti itu dikategorikan sebagai telefon pintar kelas pertengahan tinggi memandangkan ia menggunakan pemproses yang lebih berkualiti berbanding jenama lain.

Menyentuh aspek spesifikasi bagi Redmi Note 8 Pro, telefon pintar ini menggunakan pemproses kelas perdana bagi MediaTek iaitu MediaTek G90T manakala bagi variasi Note 8 menggunakan Snapdragon 665 AIE.

Note 8 Pro didatangkan dengan keupayaan memori (RAM) 6GB manakala pengguna boleh memilih variasi telefon pintar ini untuk jumlah storan 64GB atau 128GB.

Kedua-dua peranti itu menggunakan tetapan empat lensa, namun bagi Redmi Note 8 Pro, ia menggunakan lensa utama 64MP dengan sensor keluaran Samsung GW1, 8MP sudut ultra lebar, 2MP lensa makro dan 2MP sensor kedalaman.

Kapasiti bateri yang ditawarkan pula adalah 4,500mAh dan ia mampu bertahan selama 48 jam dengan penggunaan maksimum serta ia didatangkan dengan pengecas pantas 18W.

Redmi Note 8 pula menggunakan tetapan kamera yang sama dengan Note 8 Pro iaitu empat lensa namun yang membezakan adalah keupayaan kamera berkenaan.

Kamera utama Redmi Note 8 menggunakan 48MP, 8MP lensa sudut ultra lebar, 2MP lensa makro dan 2MP sensor kedalaman yang turut memberikan kualiti gambar yang begitu baik.

Harga ditawarkan bagi Redmi Note 8 Pro untuk variasi RAM 6 serta storan 64 adalah RM1,099 dan 6GB+128GB berharga RM1,199 dan percuma pad permainan jenama Black Shark.

Bagi Redmi Note 8 untuk variasi 3GB+32GB, harganya ialah RM599 manakala variasi 4GB+128GB berharga RM899.

Untuk kedua-dua variasi berkenaan, pratempahan dibuka bermula 2 hingga 11 Oktober lalu dan pengguna akan menerima pelbagai barangan eksklusif termasuk harga istimewa jika melakukan tempatan di Lazada serta Shopee.

Redmi Note 8 Pro

• Pemproses : MediaTek G90T

• RAM : 6GB

• Storan : 64GB / 128GB

• Kamera : 64MP + 8MP + 8MP + 2MP

• Bateri : 4,500mAh

Redmi Note 8

• Pemproses : Snapdragon 665 AIE

• RAM : 3GB / 4GB

• Storan : 32GB / 128GB

• Kamera : 48MP + 8MP + 8MP + 2MP

• Bateri : 4,000mAh

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Oktober 2019 @ 11:44 AM