PEMAIN jadi buruan, jumlah peluru dan kelengkapan senjata begitu terhad menerusi TCGR: Breakpoint.
PEMAIN jadi buruan, jumlah peluru dan kelengkapan senjata begitu terhad menerusi TCGR: Breakpoint.
Muhammad Saufi Hassan


UBISOFT menerusi siri permainan Tom Clancy’s Ghost Recon (TCGR) sekali lagi mempertaruhkan siri permainan terbaharu mereka iaitu TCGR: Breakpoint yang menampilkan konsep permainan ‘survival’ sebenar.

Selepas kejayaan siri sebelumnya iaitu TCGR: Wildlands yang menggunakan latar masa di Bolivia dan skuad pasukan khas berdepan dengan kartel dadah paling kejam iaitu Kartel Santa Blanca yang diketuai oleh karektor bernama El Sueno.

Hasil kejayaan TCGR: Wildlands beberapa tahun lalu, Ubisoft kembali dengan siri penembak taktikal namun memperbaiki kekurangan sebelum ini.

Menerusi TCGR: Breakpoint, pemain akan menggunakan karakter Nomad iaitu Ketua Skuad Khas Delta Company, Batalion Pertama, Pasukan Khas Kelima Angkatan Tentera Amerika Syarikat yang dikenali sebagai ‘Ghosts’.

Ia adalah pasukan fiksyen dan siri terbaharu ini masih menggunakan konsep permainan sama iaitu penembak taktikal serta menampilkan dunia terbuka (open world).

Bagaimanapun, menariknya apabila Ubisoft menaik taraf cara permainan Breakpoint apabila setiap kecederaan yang dihadapi pemain akan mempengaruhi pergerakan berbanding TCGR: Wildlands.

Jika permainan siri sebelumnya iaitu Wildlands, pemain masih boleh berlari dan menembak seperti biasa walaupun sudah ditembak dengan teruk tetapi keadaan sangat berbeza baik siri terbaru Ubisoft ini.

KEPELBAGAIAN persenjataan untuk pemain bersesuaian dengan misi.
KEPELBAGAIAN persenjataan untuk pemain bersesuaian dengan misi.

Konsep permainan untuk siri terbaharu ini akan menampilkan ciri ‘survival’ sebenar apabila pemain yang sudah ditembak seperti kecederaan di kaki akan menghadapi kesukaran untuk berlari dan berjalan terhincut-hincut.

Jika ditembak di bahagian tangan atau bahu, pemain akan menghadapi kesukaran untuk membidik dan menembak musuh. Ia adalah konsep baharu yang lebih realistik, namun pemain boleh memulihkan diri menerusi pek ‘medkit’ yang dijumpai dalam permainan.

Bagi TCGR: Breakpoint, pemain akan menjadi individu buruan dan jumlah peluru serta kelengkapan persenjataan akan menjadi begitu terhad.

Latar masa permainan ini akan menggunakan sebuah kepulauan fiksyen di Pasifik yang dikenali sebagai Pulau Aurora yang menempatkan fasiliti syarikat Skell Technology yang membekalkan dron kecerdasan pintar.

Bagaimanapun, fasiliti itu sudah ditakluk oleh sebuah lagi pasukan tentera bersifat kejam yang dikenali oleh ‘Wolves’ dan tambah menariknya, pasukan musuh diketuai oleh seorang bekas Ghosts iaitu Cole D Walker.

Oleh itu, setiap pergerakan, operasi dan kaedah untuk melaksanakan musuh mudah untuk diramal oleh musuh dan Wolves akan memburu pasukan Ghosts secara dalam kumpulan.

Ia memberi cabaran yang berbeza buat pemain berbanding siri sebelumnya dan pemain boleh membuat pra tempahan bermula

hari ini dan tarikh keluaran adalah 4 Oktober

depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mei 2019 @ 10:52 AM