ANTHEM pada peringkat awal mendapat potensi yang sangat besar.
ANTHEM pada peringkat awal mendapat potensi yang sangat besar.
Muhammad Saufi Hassan


TAHUN lalu, sedutan dalam permainan ini begitu memberi keterujaan kepada peminat sukan elektronik malah penggemar permainan video dan ada yang menyatakan judul ini akan dinobatkan sebagai permainan terbaik tahun ini.

Permainan keluaran Bioware ini mampu mencipta ‘hype’ dalam kalangan peminat permainan video malah ada yang sudah membuat pratempahan sebelum ia dilancarkan Februari lalu.

Anthem menampilkan konsep permainan futuristik apabila pemain memakai sut dikenali ‘Javelins’ dan lagak seperti Iron Man.

Sut itu membabitkan empat kelas iaitu Ranger, Interceptor, Storm dan Colossus.

Empat sut itu mempunyai kelebihan tersendiri daripada sudut pemilihan persenjataan dan pemain boleh memilih mengikut keselesaan corak permainan.

KONSEP permainan ‘looting’ perlu diperkemaskan untuk menarik semula pemain.
KONSEP permainan ‘looting’ perlu diperkemaskan untuk menarik semula pemain.

Bagaimanapun, umpama ada saja yang tidak kena bagi permainan ini apabila sejak hari pertama dilancarkan dua bulan lalu, Anthem menghadapi masalah sistem pelayan.

Pemain akan menghadapi kesukaran untuk masuk ke dalam pelayan dan sering menerima mesej masalah berbunyi ‘talian tidak dapat disambungkan ke dalam sistem pelayar’.

Itu yang dihadapi oleh sebahagian besar pemain dalam platform PC dan bagi konsol Playstation 4 pula, mereka menghadapi masalah permainan tidak boleh dilancarkan atau ‘crash’.

Keadaan itu mengakibatkan Bioware terpaksa menawarkan pengembalian semula wang kepada pemain yang sudah membeli dan menuntut ganti rugi.

Itu episod duka pertama bagi judul berkenaan, selepas hampir semua masalah diselesaikan dan permainan itu sudah menjadi semakin stabil, masalah terkini adalah kekurangan pemain.

PERMAINAN ini menawarkan kualiti grafik mengagumkan.
PERMAINAN ini menawarkan kualiti grafik mengagumkan.

Bagi pemain yang baru saja membeli dan memulakan misi, wujud keadaan mereka berseorangan sepanjang misi sedangkan pemain perlu bergerak dalam tiga anggota pasukan untuk memudahkan sesuatu misi.

Komuniti permainan Anthem seolah-olah sudah berputus asa dengan permainan itu yang pada peringkat awal memiliki potensi namun menghadapi pelbagai masalah.

Permainan ini menggunakan konsep ‘looting’ atau pencarian barangan persenjataan dan setiap barangan mempunyai kelas iaitu barangan ‘common’, ‘uncommon’, ‘rare’, ‘epic’, ‘masterwork’ dan ‘legendary’.

Rata-rata pemain yang meninggalkan permainan itu kecewa dengan konsep kesukaran untuk mendapatkan barangan bertaraf ‘legendary’ walaupun sudah bermain dalam mod kesukaran ‘Grandmaster 3’ iaitu tahap paling susah.

Bagaimanapun, permainan ini mempunyai potensi yang besar dan pembangun perlu mempercepatkan kemas kini episod terkini untuk menampilkan pelbagai mod permainan untuk menarik pemain kembali kepada judul itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mei 2019 @ 12:03 PM