ANTHEM menggunakan konsep permainan ‘hunting-loot’.
ANTHEM menggunakan konsep permainan ‘hunting-loot’.
Muhammad Saufi Hassan

BAGI peminat sukan elektronik, pastinya mengetahui judul terbaharu keluaran Bioware iaitu ‘Anthem’ yang menggunakan konsep permainan ‘Hunting-Loot’ untuk memperoleh barangan hebat.

Secara asasnya, terdapat enam status barangan bermula daripada barangan biasa (common), tidak biasa (uncommon), jarang didapati (rare), epik (epic), legenda (lagendary) dan ‘masterwork’.

Keenam-enam barangan berkenaan boleh diperoleh menerusi beberapa mod permainan di dalam Anthem namun berdasarkan pengalaman beberapa pemain, mod Freeplay antara yang mudah untuk memperoleh barangan berkenaan.

Anthem dilengkapi beberapa mod antaranya permainan bebas (freeplay), misi utama, misi singkat (quickplay) dan kubu utama (stronghold).

Pada peringkat awal penulis bermain dengan memberi fokus kepada mod permainan kubu utama untuk meningkatkan ‘level’ karakter termasuk mencari barangan eksklusif.

Mod permainan kubu utama adalah lebih sukar kerana perlu melaksanakan misi dalam beberapa peringkat dan misi hanya akan lebih mudah jika tiga lagi pemain lain bijak memainkan peranan mereka.

IT@Metro minggu ini cuba memberikan tip terbaik kepada pemain baharu untuk meningkatkan level mereka termasuk mendapatkan barangan eksklusif.

PETA penuh dalam permainan Anthem.
PETA penuh dalam permainan Anthem.

1. MULAKAN PERMAINAN DENGAN TAHAP KESUKARAN ARAS SUSAH (HARD)

Bagi segelintir pemain, mungkin akan memilih tahap kesukaran yang mudah untuk mula-mula mencuba sesuatu permainan namun langkah itu mungkin kurang bijak dalam permainan Anthem keluaran Bioware.

Jika pemain baru memilih tahap kesukaran yang mudah dalam beberapa mod permainan, ia akan mengecilkan jumlah ‘experience’ untuk meningkatkan tahap karektor mereka.

Kaedah terbaik adalah memilih tahap kesukaran pada aras susah (hard) kerana ia akan memberikan nilai ‘experience’ maksimum kepada pemain sekali gus mempercepatkan peningkatan karektor.

Pemain juga tidak perlu bimbang dengan aras kesukaran berkenaan kerana walaupun pada aras susah, ia masih mampu untuk dimainkan apabila bijak menggunakan kombinasi kemahiran karektor pemain.

2. MENAMATKAN MISI UTAMA SECARA BERKUMPULAN

Ini adalah saranan atau cadangan paling penting iaitu pemain perlu menamatkan misi utama terlebih dahulu sebelum memberikan fokus kepada mod permainan yang lain.

Menerusi misi utama, pemain akan menerima lebih banyak mata ‘experience’ dan jika ia dilakukan secara berkumpulan dengan pemain lain, mata berkenaan akan terkumpul secara maksimum.

Ia adalah kaedah paling cepat untuk sampai ke level 30 iaitu aras paling karektor paling tinggi dalam permainan Anthem. Misi utama ini boleh dilakukan ketika pemain berbual atau melihat kepada peta.

3. MOD PERMAINAN BEBAS, MISI SINGKAT DAN KUBU UTAMA UNTUK BARANGAN EKSKLUSIF

Sebaik pemain berjaya menamatkan misi utama dalam permainan berkenaan, mereka perlu memberi fokus kepada mod permainan bebas atau ‘freeplay’ memandangkan ia antara mod yang mudah untuk memperoleh barangan.

Setakat ini, mod berkenaan paling mudah untuk mendapat barangan dan penulis menghabiskan masa selama 60 minit untuk memperoleh beberapa barangan berstatus epik dengan bermain ‘World Mission’ dalam mod berkenaan.

Selain itu, pemain juga boleh memberi fokus kepada misi singkat kerana sebaik setiap misi berjaya dihabiskan, pemain akan menerima ganjaran.

Penulis tidak begitu mencadangkan pemain baru untuk memberi fokus kepada mod kubu utama kerana ia adalah paling susah untuk tiga mod berkenaan.

Bagaimanapun, misi kubu utama boleh dijadikan pilihan jika pemain sudah bosan dengan dua mod sebelumnya.

4. TIDAK PERLU TERBURU-BURU TUKAR KARAKTER SEBALIKNYA MEMAHIRKAN DIRI DALAM SUT ‘JAVELIN’ YANG DIPILIH

Untuk permainan Anthem, terdapat empat kelas sut exo yang dikenali sebagai ‘javelin’ iaitu kelas Ranger, Colossus, Storm dan Interceptor.

Bagi sut exo Javelin jenis Ranger, ia adalah sut paling versatil dalam permainan ini dan mampu mengadaptasi sebarang bentuk misi dan permainan.

Sut exo Colossus pula, ia adalah sut paling besar dan sangat sesuai untuk pemain yang gemar bermain secara ‘roburst’ serta sut ini memberikan nilai kerosakan yang paling tinggi bermain sut javelin yang lain.

Selain itu, pemain juga boleh memilih sut kelas Interceptor. Sut jenis ini adalah paling kecil antara empat kelas javelin, namun sangat lincah dan sesuai melakukan pembunuhan secara senyap.

Terakhir adalah sut exo kelas Storm. Ia adalah sut jenis elemen yang mampu melancarkan nilai kerosakan yang tinggi, namun sut ini sesuai bagi pertempuran jarak jauh.

Keempat-empat sut ini sesuai dengan apa juga keadaan namun ia bergantung kepada kemahiran pemain untuk menggabungkan kombinasi kemahiran sut mereka.

PEMAIN boleh mengubah suai sut mereka mengikut cita rasa.
PEMAIN boleh mengubah suai sut mereka mengikut cita rasa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 9:24 AM